BERITA TERKINI   RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | 

Ringgit Ditutup Lebih Rendah Menjelang Tarikh Akhir Tarif AS

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berikutan jangkaan berkurangan bagi perjanjian perdagangan menjelang tarikh akhir tarif AS yang menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2245/2305 berbanding dolar AS daripada 4.1995/2005 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit yang menikmati momentum kukuh sejak beberapa minggu lepas, kini berdepan dengan masalah apabila pasaran bersiap sedia untuk tarikh akhir tarif iaitu 9 Julai, dengan Presiden AS Donald Trump menjelaskan bahawa tiada lanjutan akan diberikan.

“Dengan tarikh akhir semakin menghampiri, pasaran sedang beralih kepada mod bertahan.

“Pasaran tukaran asing Asia berasa seperti berdagang dalam gelap, selain gugup, reaktif dan tidak pasti mengenai dari mana masalah seterusnya akan datang,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pendirian tegas Trump terhadap Jepun, terutamanya mengenai beras dan kenderaan telah mencetuskan lagi ketegangan serantau, manakala nada yang lebih lembut terhadap India kekal menyebabkan kekaburan dalam hubungan diplomatik.

“Sehingga isyarat yang lebih jelas muncul, pasaran dijangka kekal perlahan dan sentiasa berhati-hati,” katanya.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7859/7941 daripada 5.7797/7866, dan berkurang berbanding euro kepada 4.9748/9818 daripada 4.9566/9625 semalam.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9316/9360 daripada 2.9351/9389.

Mata wang tempatan juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit merosot berbanding rupiah Indonesia kepada  259.9/260.5 daripada 258.9/259.4, susut berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.51 daripada 7.45/7.46, berkurang berbanding dolar Singapura kepada 3.3167/3217 daripada 3.3015/3059, dan turun berbanding baht Thailand kepada 13.0233/0482 daripada 12.9363/9585 sebelumnya.

-- BERNAMA