BERITA TERKINI   Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | Pelabuhan Klang catat peningkatan jumlah pengendalian kontena sebanyak 3.4 peratus kepada 15.14 juta TEUs pada 2025, berbanding 14.64 juta TEUs pada 2024 | Permohonan fasa satu Dana Inovasi Media dibuka bermula 1 hingga 14 Jan ini - Kementerian Komunikasi | 

Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS Apabila Pasaran Jangka Tarif AS Sederhana

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, disokong oleh jangkaan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan kompromi dalam langkah tarif AS akan datang.

Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2180/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2195/2255 ketika ditutup semalam,

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan semula ringgit secara sederhana itu sebahagiannya dipacu oleh keyakinan yang Washington mungkin menetapkan kadar tarif yang lebih ringan memandangkan pentadbirannya sedang menghampiri fasa akhir penetapan tarif bagi kalangan negara tertentu.

“Terdapat spekulasi bahawa tarif yang dimuktamadkan mungkin kurang beban berbanding cadangan awal yang diumumkan pada April, sekali membantu meredakan kebimbangan pasaran.

“Ringgit lebih lemah ketika awal dagangan, susut  kepada 4.2383, namun meningkat semula kemudian kepada setinggi 4.2175 sepanjang sesi dagangan hari ini,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata bagaimanapun, sentimen keseluruhan masih berhati-hati, dengan para pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat sementara menunggu lebih kejelasan mengenai hala tuju dasar perdagangan dan kesannya secara menyeluruh.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.9675/9770 daripada 4.9756/9827 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.9225/9282 daripada 2.9333/9376.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.7601/7710 daripada 5.7621/7703.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3114/3182 daripada 3.3146/3196 ketika ditutup pada Khamis, dan lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 7.47/7.49 daripada 7.50/7.51.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0302/0609 daripada 13.0211/0457, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 260.6/261.2 daripada 260.5/261.0.

-- BERNAMA