BERITA TERKINI   MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kerajaan setuju bayar RM200 sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengarah Urusan Lynas Amanda Lacaze Akan Bersara

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas Rare Earths Ltd, Amanda Lacaze akan bersara selepas 12 tahun menggalas jawatan tersebut.

Lynas berkata lembaga pengarah telah memulakan proses pencarian untuk memilih ketua pegawai eksekutif baharu bagi meneraju syarikat tersebut menuju ke arah pertumbuhan seterusnya.

"Proses pemilihan ini akan mempertimbangkan calon dalaman dan luaran. Lacaze berhasrat untuk terus kekal bersama syarikat sehingga akhir tahun kewangan semasa bagi membolehkan peralihan yang lancar," kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah John Humphrey berkata sepanjang tempoh 12 tahun ini Lacaze telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada Lynas dan juga industri nadir bumi.

"Ketika beliau mengambil alih jawatan ketua pegawai eksekutif, syarikat ini berada dalam kedudukan yang sangat sukar. Kini Lynas merupakan pengeluar nadir bumi utama dan pembekal penting kepada rantaian bekalan pembuatan global.

"Di bawah kepimpinan beliau, jejak pengeluaran dan operasi syarikat telah berkembang, dan nilai pasaran kami telah meningkat daripada kira-kira AU$400 juta pada  2014 kepada hampir AU$15 bilion ketika ini," kata Humphrey.

Sementara itu, Lacaze berkata beliau menyerahkan syarikat itu di bawah jagaan mereka yang berkebolehan dan boleh diharapkan untuk menyokong rancangan pertumbuhan pada masa depan.

Lynas Rare Earths Ltd ialah syarikat senaraian awam Australia yang beribu pejabat di Perth, Australia Barat.

Menurut maklumat di laman webnya, Lynas menawarkan sumber nadir bumi yang terjamin dari lombong hingga ke bahan mentah yang siap menerusi rantaian bekalannya yang bersepadu dan selamat.

Simpanan nadir bumi dari lombong Mt Weld, yang terletak di Australia Barat, diproses di kemudahan pemprosesan nadir bumi Kalgoorlie di Australia Barat dan kilang Lynas Malaysia di Kuantan, Malaysia.

Lynas Malaysia telah beroperasi sejak 2012 dengan lesennya dilanjutkan sehingga Mac 2026.

Bahan nadir bumi Lynas digunakan dalam pelbagai penggunaan berteknologi tinggi termasuk produk elektronik, turbin angin dan kenderaan hibrid dan elektrik.

-- BERNAMA