Kenanga IB Lancar Waran Berstruktur Dikaitkan Dengan Indeks-indeks Hang Seng Hong Kong
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd melancarkan waran berstruktur baharu di Bursa Malaysia hari ini, menawarkan akses langsung kepada pelabur Malaysia untuk ke pasaran global melalui pendedahan kepada dua penanda aras ekuiti utama Hang Seng di Hong Kong.
Dua waran berstruktur baharu itu ialah Indeks Teknologi Hang Seng (HSTECH) dan Indeks Perusahaan China Hang Seng (HSCEI).
HSTECH merangkumi 30 syarikat teknologi terbesar yang disenaraikan di Hong Kong, termasuk syarikat utama seperti Alibaba, Tencent dan Meituan.
HSCEI pula merangkumi kalangan syarikat utama China yang disenaraikan di Hong Kong, meliputi sektor teknologi maklumat, pilihan pengguna, dan kewangan.
Pada dasarnya, indeks itu mewakili gambaran pelbagai transformasi ekonomi China.
Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga IB, Datuk Chay Wai Leong berkata pelancaran waran berstruktur HSCEI dan HSTECH menandakan langkah penting dalam misi pihaknya untuk mendemokrasikan akses ke pasaran global.
“Sebagai penerbit utama di Malaysia, Kenanga Group kekal komited untuk memacu inovasi, memperluas peluang pelabur, dan membentuk masa depan waran berstruktur.
“Inisiatif ini mencerminkan visi jangka masa panjang kami untuk memperkasakan generasi pelabur baharu di samping mengukuhkan kepimpinan kami dalam pasaran modal serantau,” katanya pada pelancaran waran berstruktur itu di Bursa Malaysia di sini, pada Isnin.
Beliau berkata waran Kenanga IB memecahkan rekod dengan mencatatkan 52 peratus bahagian pasaran dengan jumlah dagangan bernilai RM15.7 bilion pada 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed berkata susulan penerbitan itu, pencapaian tersebut memperluas pilihan yang tersedia kepada pelabur runcit Malaysia, memberikan pendedahan langsung kepada mereka untuk syarikat yang diiktiraf di peringkat global.
“Kemasukan syarikat asas ekuiti asing ini memperkaya pasaran Malaysia, menjadikan akses pelaburan lebih global dan mudah dihubungkaitkan,” katanya pada majlis pelancaran itu.
Sebagai produk kedua paling aktif didagangkan selepas saham, permintaan waran berstruktur telah meningkat dalam komuniti pelaburan Malaysia, katanya.
“Secara khusus, minat terhadap waran berstruktur yang berkaitan dengan indeks-indeks asing terus meningkat dengan nilai dagangan harian purata melonjak lebih empat kali daripada RM23 juta pada 2021 kepada RM102 juta sehingga Jun 2025.
“Dengan membolehkan penyertaan mudah melalui pihak perantara dan akaun sistem deposit pusat tempatan, waran berstruktur memberikan akses yang cekap, mudah dan dikawal selia kepada pelabur Malaysia untuk ke pasaran global, semuanya dalam denominasi ringgit,” tambahnya.
Hang Seng ialah indeks pasaran saham utama Hong Kong dan menjejaki kalangan syarikat teratas di Bursa Saham Hong Kong.
-- BERNAMA