Kebimbangan Mengenai Bekalan Getah Asli Dorong SMR 20 Ditutup Tinggi
Oleh K.Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) ditutup tinggi hari ini berikutan kebimbangan mengenai bekalan getah asli dan optimisme terhadap peningkatan permintaan kenderaan, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat hari ini, disokong oleh optimisme terhadap peningkatan permintaan kenderaan selepas pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar di China, BYD Auto Co Ltd mengumumkan pelan untuk meningkatkan pemasangan EV di Brazil.
“Memetik seorang eksekutif kanan, BYD akan memulakan pemasangan kenderaan elektrik di kilang baharu di Brazil seawal bulan ini, mengurangkan import berikutan tarif mula meningkat di pasaran asing terbesarnya,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, katanya agensi meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dari 10 hingga 12 Julai.
Beliau berkata sentimen pasaran turut meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) melanjutkan tarikh akhir tarifnya.
“Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang melanjutkan tarikh akhir tarif perdagangan timbal baliknya kepada 1 Ogos daripada 9 Julai selain kekal terbuka untuk perbincangan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kenaikan seterusnya dikekang oleh penurunan harga minyak mentah berikutan ketidaktentuan mengenai tarif AS yang berterusan.
“Harga minyak merosot pada Selasa selepas meningkat hampir dua peratus pada sesi sebelumnya berikutan pelabur menilai perkembangan baharu mengenai tarif AS dan peningkatan pengeluaran daripada OPEC+ pada Ogos yang lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 6.5 sen kepada 706.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 565.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA