Keperluan Permit Perdagangan Cip AI Mencerminkan Komitmen Malaysia Terhadap Transparensi
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Keperluan permit perdagangan untuk kecerdasan buatan (AI) Amerika Syarikat (AS) menandakan komitmen Malaysia terhadap ketelusan dan piawaian global selain bertujuan mengekang kegiatan pelanggaran undang-undang dalam ekosistem AI.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kawalan dalam eksport baharu itu tidak menghalang usaha pengembangan AI serta pusat data, yang didorong oleh pelaburan infrastruktur, perkongsian awan dan bakat tempatan.
Bagaimanapun, ia memberi isyarat pengawasan pengawalseliaan yang lebih ketat.
"Jika anda mahu bermain di dalam sandbox AI, anda kini perlu memantau jejak penyumberan, pendedahan serta pematuhan anda dengan lebih berhati-hati," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
Kementerian itu berkata ia akan mengenakan syarat serta-merta untuk permit perdagangan strategik ke atas semua eksport, pemindahan dan transit cip AI yang berprestasi tinggi dari AS, sebagai sebahagian daripada usaha untuk merapatkan kelemahan dalam pengawalseliaan.
MITI berkata langkah terkini itu berada di bawah Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010), yang dikenali sebagai peruntukan "Catch-All Control",
Ia memberi mandat kepada individu atau syarikat agar memberitahu pihak berkuasa sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal jika mereka berhasrat untuk mengeksport, memindahkan atau membuat transit apa-apa item yang tidak disenaraikan dalam senarai item strategik (SIL), yang mana terdapat pengetahuan atau syak wasangka yang munasabah bahawa item itu boleh disalahgunakan atau terlibat dalam aktiviti terhad.
Innes selanjutnya berkata walaupun mungkin firma teknologi multinasional akan melihat ini sebagai halangan yang boleh diurus, pemain tempatan yang kecil atau pemula niaga akan berdepan dengan cabaran tanpa manfaat sokongan undang-undang yang mantap.
Mengenai industri cip itu sendiri, Innes berkata kekuatan teras Malaysia dalam pengujian serta pembungkusan bermakna ia mungkin terselamat daripada gangguan tersebut. "Undang -undang ini memaksa mempercepatkan kematangan industri dari segi infrastruktur pematuhan. Yang baiknya, ia akan memacu Malaysia ke arah standard yang lebih telus dan diintegrasikan di peringkat dunia," katanya.
Innes juga menyatakan bukan bermakna rangka kerja eksport Malaysia sedia ada adalah tidak terlus tetapi ia mempunyai 'titik buta' dalam menangani teknologi dwi-guna seperti cip AI.
Sementara itu, Profesor Ekonomi Geoffrey Williams berkata perubahan dalam peraturan menunjukkan pendekatan yang bersifat bekerjasama yang bermula dari rundingan tarif, ini merupakan petanda yang baik.
Beliau berkata ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak sedang mendengar hujah satu sama lain dan bertindak balas dengan cepat.
"Ianya akan memberikan peluang yang lebih baik untuk penurunan tarif timbal balik 25 peratus, lebih elok daripada mengambil pendirian keras kepala. Yang ini boleh dikatakan sebagai saling menguntungkan," katanya.
Williams berkata AS bimbang jika cip AI yang dihantar ke China melalui negara-negara ketiga di ASEAN berkemungkinan melanggar embargo AS.
"Oleh itu, menyelaraskan peraturan yang lebih baik di seluruh ASEAN adalah tindak balas positif bagi menangani kebimbangan AS, dan Malaysia memainkan peranan penting dalam hal ini," katanya, sambil menambah bahawa ianya tidak akan memberi impak ketara terhadap pusat data serta operasi AI di Malaysia, kerana ia bertujuan menyekat aktiviti yang melanggar undang-undang.
-- BERNAMA