Sarawak Tampil Sebagai Peneraju Tenaga Bersih Melalui IEW 2025
KUCHING, 16 Julai (Bernama) -- Minggu Tenaga Antarabangsa Keenam (IEW) 2025 yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak mengesahkan semula peranan pentingnya sebagai peneraju global dalam inovasi tenaga bersih di tengah-tengah peralihan dunia ke arah tenaga lestari.
Diadakan di bawah tema "Dari Sarawak ke Dunia: Perjalanan ke arah Kepimpinan Tenaga Bersih", IEW 2025 mempamerkan hala tuju negeri tersebut bagi menerajui peralihan tenaga di seluruh rantau Asia Pasifik dan seterusnya.
Informa Markets Malaysia melalui satu kenyataan hari ini memberitahu acara berprestij itu dibuka secara rasmi oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semalam.
Antara tetamu yang menyertai beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, yang juga merupakan pengerusi penganjur IEW 2025.
Dalam ucapannya, Abang Johari mengesahkan komitmen Sarawak yang tidak berbelah bahagi untuk tenaga bersih.
"Dengan memanfaatkan sumber semula jadi yang banyak selain inovasi, kami mahu mengurangkan pelepasan karbon dan membina masa depan yang lestari. Kami bermatlamat untuk memenuhi tuntutan tenaga tanpa menjejaskan persekitaran bagi generasi akan datang," katanya.
Abang Johari turut menekankan pentingnya pembangunan modal insan dalam mendorong peralihan tenaga bersih.
"Kami memerlukan tenaga kerja yang mahir di ruang ini. Ini adalah platform untuk menghasilkan pakar-pakar teknologi, bukan hanya untuk tenaga tetapi juga kepada industri baharu muncul seperti aeroangkasa," katanya, sambil menyatakan kesan ekonomi yang lebih meluas jika melabur dalam bakat mahir.
IEW 2025 menarik lebih daripada 400 syarikat serta jenama dari 25 buah negara, menampilkan teknologi terkini dalam tenaga boleh baharu, hidrogen, grid pintar, kecekapan tenaga, penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) serta infrastruktur hijau.
Dengan lebih daripada 100 gerai pameran, acara itu dijangka menjana US$2.5 juta (US$1 = RM4.24) dalam peluang perniagaan segera, memupuk pertumbuhan ekonomi dan kerjasama yang signifikan.
Komitmen Sarawak untuk tenaga bersih dicerminkan dalam gabungan tenaga semasa, dengan lebih dari 70 peratus daripada elektrik yang dihasilkan datang dari sumber yang boleh diperbaharui, terutamanya tenaga hidro.
Projek-projek utama seperti Empangan Baleh dan loji solar terapung Batang AI, ditambah pula dengan sambungan grid rentas sempadan yang berhubung dengan Kalimantan, Brunei, dan tidak lama lagi, Singapura, meningkatkan sumbangan Sarawak ke grid tenaga ASEAN. Perkembangan ini melayakkan Sarawak untuk digelar sebagai "Bateri ASEAN".
Selain tenaga hidro, negeri itu turut membuat langkah besar dalam memajukan ekonomi hidrogennya, termasuk pengeluaran hidrogen serta fasiliti pengisian semula yang pertama di Asia Tenggara.
Perkongsian strategik dengan Jepun dan Korea Selatan memudahkan pemindahan teknologi penting yang turut merangkumi pengembangan pasaran, ini seterusnya, memposisikan Sarawak di barisan hadapan revolusi hidrogen.
Serentak dengan itu, Sarawak juga telah meningkatkan usaha dalam CCUS, biojisim (termasuk penyelesaian inovatif seperti rumput Napier) dan inisiatif sisa ke tenaga, mempelbagaikan portfolio tenaga bersih serta mengukuhkan dedikasinya kepada masa depan yang lestari.
Bagi bempromosikan peralihan tenaga inklusif, Sarawak telah menyokong perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS) dalam sektor minyak dan gas dan peralatan (OGSE), yang membentuk 85 peratus kepentingan dalam industri itu.
Sokongan ini termasuk mempromosikan akses kepada pembiayaan, program peningkatan dan penggunaan teknologi hijau, memastikan manfaat peralihan tenaga secara meluas ini dapat dikongsi di seluruh ekonomi tempatan.
IEW 2025 dimungkinkan melalui sokongan yang tidak ternilai daripada penaja platinum, emas dan peraknya selain rakan kongsi utama seperti Business Events Sarawak (BESarawak), yang terus menjuarai acara yang berimpak dan mampan.
Syarikat penerbangan rasmi dan rakan kongsi e-panggilan turut dilibatkan, meningkatkan pengalaman untuk peserta domestik dan antarabangsa.
Melalui IEW 2025, Sarawak telah menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia: "Peralihan tenaga adalah cabaran yang ditakrifkan kami dan Sarawak bersedia untuk memimpin. Negeri ini mengalu-alukan kerjasama global dalam mewujudkan masa depan tenaga yang lebih bersih, hijau dan inklusif untuk semua orang."
-- BERNAMA