Malaysia, Jepun Perkukuh Kerjasama Strategik Alam Sekitar, REE
PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Malaysia dan Jepun hari ini menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang alam sekitar, kelayakan karbon dan unsur nadir bumi (REE).
Perkara berkenaan diutarakan menerusi pertemuan peringkat tertinggi hari ini antara Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata.
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam kenyataan hari ini, fokus utama perbincangan tertumpu kepada pengimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan sasaran iklim dan pemanfaatan inovasi teknologi.
“Kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang alam sekitar, kelayakan karbon dan REE.
“Selain itu, tumpuan diberikan kepada pembangunan ekonomi kitaran melalui pengurusan sisa elektronik dan pemprosesan produk sampingan minyak sawit, pengukuhan sekuriti tenaga melalui bekalan gas asli cecair (LNG) dan pembangunan industri REE secara mampan dengan sokongan kepakaran teknikal Jepun,” kata NRES.
Kata NRES, perbincangan juga merangkumi usaha memuktamadkan Memorandum Kerjasama (MoC) Komprehensif dan Joint Crediting Mechanism (JCM) yang dijadualkan ditandatangani pada Jun 2026, di samping meneroka kerjasama dalam teknologi dekarbonisasi termasuk pengeluaran bahan api penerbangan mampan di Sarawak.
Selain itu, aspek konservasi dan pertukaran budaya, termasuk usaha pemuliharaan hidupan liar serta kejayaan program pembiakan Tapir Malaysia di Jepun dan penyertaan dalam ekspo hortikultur turut dibincangkan.
“Menteri menyatakan keyakinan bahawa perkongsian strategik ini bukan sahaja akan memacu inovasi teknologi, malah memastikan Malaysia kekal sebagai hab serantau bagi pelaburan hijau dan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab,” kata NRES.
Terdahulu, Arthur menerima kunjungan hormat daripada Shikata, bertujuan untuk memperkukuh hubungan dua hala strategik dan memperincikan deliverables utama sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun pada Jun depan.
-- BERNAMA