BERITA TERKINI   iCents mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 29 sen, premium lima sen daripada harga IPO 24 sen, dengan 13.59 juta saham bertukar tangan | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Prestasi Pasaran Berkaitan, Ringgit

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi hari ini, disokong oleh prestasi kenaikan harga di pasaran berkaitan komoditi itu.

Peniaga Minyak Sawit David Ng berkata pasaran menjejaki kenaikan harga minyak soya dan olein sawit di Bursa Komoditi Dalian China (DCE) yang memacu sentimen dalam sektor minyak sayuran secara keseluruhannya.

“Apabila harga minyak kacang soya dan olein sawit meningkat, pembeli lazimnya beralih kepada minyak sawit sebagai alternatif yang lebih mudah didapati dan menyebabkan peningkatan permintaan serta kecenderungan kenaikan harga minyak sawit,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, katanya, prestasi ringgit turut mendorong peningkatan sentimen pasaran.

 “Oleh itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,150 satu tan manakala rintangan pada RM4,300,” katanya.

Sementara itu, penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan minyak sawit meningkat berikutan pembelian selepas penurunan baru-baru ini dengan penyusutan ringgit hanya menjadikan minyak sawit Malaysia lebih menarik untuk pembeli di luar negara.

“Niaga hadapan minyak sawit turut mendapat sokongan daripada kenaikan harga minyak soya di DCE,” katanya.

Sathia bagaimanapun mengingatkan bahawa kenaikan selanjutnya mungkin terhad susulan keadaan pengeluaran yang semakin baik.

“Peningkatan pengeluaran pada Julai mungkin memberi tekanan ke atas sentimen pasaran di masa depan,” katanya.

Pada penutup, kontrak bulan semasa Ogos naik sebanyak RM52 kepada RM4,158 satu tan manakala kontrak September 2025 menokok RM52 kepada RM4,198 satu tan.

Selain itu, Oktober 2025 meraih RM61 kepada RM4,224 satu tan, November 2025 meningkat RM67 kepada RM4,233 satu tan dan Disember 2025 melonjak RM65 kepada RM4,233 satu tan.

Januari 2026 pula menokok RM67 pada RM4,232 satu tan.

Jumlah dagangan turun kepada 90,890 lot daripada 128,330 lot semalam dan kepentingan terbuka meningkat kepada 231,958 kontrak daripada 231,153 kontrak sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi Ogos Selatan meningkat sebanyak RM50 kepada RM4,170 satu tan.

-- BERNAMA