Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi pada Isnin, disokong oleh permintaan terhadap aset selamat menjelang tarikh akhir 1 Ogos bagi kemungkinan pengenaan tarif baharu ke atas Kesatuan Eropah (EU).
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ketidaktentuan yang berterusan dalam rundingan perdagangan menyokong permintaan terhadap emas.
“Risiko geopolitik di Eropah terus menjadi tumpuan selepas EU menurunkan had harga eksport minyak Rusia, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu terhadap bekalan tenaga global dan tekanan inflasi,” katanya kepada Bernama.
Beliau turut berkata ketidaktentuan politik di Jepun menyumbang kepada pendekatan berhati-hati dalam pasaran, memandangkan sokongan terhadap Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba yang semakin lemah boleh menyukarkan rundingan perdagangan Tokyo dengan Washington.
“Secara keseluruhan, gabungan ketegangan perdagangan, ketidakstabilan politik dan kebimbangan inflasi mendorong pelabur beralih kepada emas sebagai aset defensif, dengan harga terus mengukuh ketika minggu dagangan baharu bermula,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Julai 2025 meningkat kepada US$3,374.30 setiap auns troy daripada US$3,360.00 pada Jumaat lepas.
Kontrak Ogos 2025 naik kepada US$3,392.60 daripada US$3,378.30, manakala kontrak September 2025 menokok kepada US$3,398.50 daripada US$3,384.20.
Sementara itu, kontrak Oktober 2025, Disember 2025 dan Februari 2026 juga masing-masing ditutup lebih tinggi pada US$3,427.70 berbanding US$3,413.40 sebelum ini.
Jumlah dagangan susut kepada empat lot daripada 12 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 56 kontrak daripada 67.
Harga emas fizikal pula berada pada US$3,351.60 setiap auns troy, berdasarkan penetapan harga London Bullion Market Association pada 18 Julai 2025.
-- BERNAMA