Firma Penyelidikan Turunkan Unjuran Inflasi Kepada 1.5-1.8 Peratus Bagi 2025
KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Firma penyelidikan menyemak semula unjuran inflasi utama Malaysia bagi 2025 dengan menurunkannya kepada 1.5 peratus hingga 1.8 peratus.
MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) melaraskan unjuran inflasi 2025 kepada 1.8 peratus dengan mengambil kira bacaan inflasi sederhana yang berterusan serta tekanan kos yang lebih lemah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Selain itu, kelewatan dalam penyesuaian subsidi RON95 yang mungkin menyebabkan peningkatan inflasi berlaku secara lebih beransur-ansur daripada unjuran awal.
“Kami melaraskan unjuran inflasi kami ke paras yang lebih rendah berikutan perkembangan dasar terkini,” katanya.
Memetik kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, beliau berkata terdapat sedikit kelewatan dalam pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95 yang berpunca daripada keperluan untuk melaksanakan semakan menyeluruh selain penyelarasan teliti mekanisme dasar bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberi kesan buruk kepada orang ramai.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan tekanan harga yang lebih tinggi akan dipacu terutamanya oleh faktor di pihak bekalan khususnya yang timbul daripada pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas.
“Sebagai pelengkap, tekanan di pihak permintaan juga mungkin meningkat susulan pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini yang boleh menggalakkan perbelanjaan pengguna yang lebih besar berdasarkan keadaan pasaran buruh yang kukuh dengan tahap pekerjaan dan pertumbuhan gaji yang baik,” kata MBSB IB.
Walaupun terdapat kemungkinan peningkatan permintaan, MBSB IB menjangkakan OPR akan dikekalkan pada 2.75 peratus untuk baki tahun ini kerana inflasi keseluruhan masih terkawal.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan ASEAN OCBC Lavanya Venkateswaran berkata, unjuran bagi indeks harga pengguna (IHP) utama kekal agak perlahan bagi baki tahun ini.
“Kami mengurangkan unjuran IHP 2025 kepada 1.5 peratus tahun ke tahun daripada 2.0 peratus sebelumnya berdasarkan inflasi rendah sebanyak 1.4 peratus dalam separuh pertama 2025 selain mengurangkan prospek rasionalisasi RON95.
“Sebelum ini, kami menjangkakan kenaikan harga RON95 sebanyak 20 hingga 25 peratus bermula Oktober 2025,” katanya.
Selain itu, beliau berkata dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka perlahan pada separuh kedua 2025 kepada 3.5 peratus tahun ke tahun daripada anggaran 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 dengan inflasi dijangka kekal rendah, OCBC melihat dasar monetari mempunyai ruang untuk dilonggarkan pada separuh kedua 2025.
“Kami menjangkakan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas lagi oleh Bank Negara Malaysia untuk baki tahun ini,” katanya.
Hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata inflasi Malaysia meningkat pada kadar lebih perlahan iaitu 1.1 peratus pada Jun 2025 dengan indeks mencatatkan 134.5 mata daripada 133.0 pada bulan yang sama tahun lepas.
IHP DOSM bagi Jun 2025 menyatakan penyederhanaan turut ditunjukkan dalam Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan yang menyusut sebanyak 3.6 peratus pada Mei 2025.
-- BERNAMA