Unjuran Pertumbuhan ASEAN+3 Disemak Turun Susulan Risiko Tarif, Prospek Kekal Kukuh 

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 23 Julai (Bernama) -- Rantau ASEAN+3 diunjurkan berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2025 dan 3.6 peratus pada 2026, menurut kemas kini suku tahunan Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) oleh Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).

ASEAN+3 merujuk kepada negara anggota ASEAN bersama-sama China, Jepun dan Korea Selatan.

Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata walaupun unjuran ini menunjukkan semakan menurun berbanding unjuran April terutamanya berikutan kesan peningkatan tarif Amerika Syarikat (AS), rantau ini terus memperlihatkan daya tahan asas yang berdaya tahan, disokong oleh langkah dasar yang proaktif.

“Lebih memberangsangkan lagi apabila rantau ASEAN+3 mengalami tempoh ketidaktentuan perdagangan global ini dalam keadaan yang kukuh dan berdaya tahan.

“Kebanyakan pembuat dasar serantau telah bertindak awal untuk mengurangkan impak daripada kejutan perdagangan ini, dan masih ada peluang mengenai dasar yang boleh dimanfaatkan sebagai sokongan tambahan sekiranya perlu," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran laporan berkenaan.

AMRO berkata prospek ekonomi kekal dibayangi oleh ketidaktentuan yang jelas, dengan peningkatan tarif AS mencetuskan risiko yang paling ketara.

Dalam aspek yang lebih positif, inflasi di seluruh rantau ini terus menyederhana walaupun harga minyak mengalami lonjakan sementara berikutan ketegangan di Timur Tengah.

Pasaran kewangan turut menunjukkan daya tahan, dengan mata wang serantau secara umumnya mengukuh berbanding dolar AS ketika kebimbangan pasaran yang meningkat terhadap ketidaktentuan dasar AS.

Sementara itu, Dong He menekankan keperluan integrasi serantau yang lebih mendalam untuk membina daya tahan terhadap kejutan luar dan melahirkan peluang pertumbuhan baharu.

“Pengaruh ekonomi secara kolektif ASEAN+3 -- yang mewakili hampir satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global -- disertai dengan peningkatan integrasi serantau dan rangka kerja pengurusan krisis yang mantap, memberi asas kukuh dalam mengharungi cabaran global semasa,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menekankan peranan penting ekonomi Plus Three bagi menyokong dinamik serantau ASEAN.

“Dasar akomodatif China dan peranannya sebagai pasaran permintaan akhir terbesar di rantau ini memberi kestabilan penting kepada rantaian bekalan ASEAN,” katanya sambil memaklumkan Jepun dan Korea Selatan kekal sebagai penyedia teknologi utama dan pelabur penting di rantau ini.

-- BERNAMA