Tekanan Kos, Kawal Selia Dorong Penyatuan Strategik Dalam Pasaran Pusat Data Malaysia -JLL
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Sektor pusat data Malaysia yang berkembang pesat kini memasuki fasa penyatuan iaitu satu perkembangan semula jadi yang turut diperhatikan di pasaran yang lebih matang, kata firma hartanah komersial global, JLL.
Pengurus Transaksi Pusat Data dan Pasaran Modal JLL Malaysia Sum Chun Kit berkata peralihan ini akan mengutamakan pengendali berkualiti tinggi berbanding pemain industri spekulatif apabila tekanan kos dan kawal selia semakin meningkat.
“Ini merupakan aliran yang sihat dalam pasaran yang sedang matang. Kenaikan kos di seluruh rantaian pembangunan termasuk tarif elektrik dijangka meningkat antara 10 hingga 20 peratus.
“Tekanan ini akan menapis pemain industri yang tidak mengoptimumkan kecekapan,” katanya semasa menyampaikan taklimat Laporan Dinamik Pasaran Suku Kedua 2025 oleh JLL di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun caj utiliti yang lebih tinggi merupakan satu cabaran, namun ia akhirnya boleh memberi manfaat kepada ekosistem yang lebih luas.
“Pengenaan tarif yang lebih tinggi membolehkan penyedia tenaga seperti Tenaga Nasional Bhd memperoleh lebih banyak perolehan dan melabur semula dalam penambahbaikan infrastruktur yang akan membawa kepada kestabilan dan perkhidmatan yang lebih baik untuk semua pengguna,” kata Sum.
Jelasnya, tekanan kos lain termasuk kenaikan harga tanah, bahan binaan dan peraturan yang lebih ketat melibatkan kelulusan pihak berkuasa serta skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluas.
Melangkah ke hadapan, Sum menjangkakan aliran penyatuan akan berterusan terutamanya bagi pengendali yang gagal menunjukkan penggunaan air dan tenaga yang cekap iaitu dua sumber penting bagi pusat data.
Walaupun begitu, katanya, permintaan terhadap pusat data kekal kukuh di kawasan-kawasan utama dengan minat yang berterusan di sekitar Johor Bahru di Johor serta hab yang sudah mampan di Lembah Klang serta zon-zon yang sedang membangun seperti Nilai dan Port Dickson di Negeri Sembilan.
“Seperti perniagaan atau sektor hartanah, pasaran pusat data juga melalui kitarannya. Apa yang kita lihat sekarang merupakan sebahagian daripada evolusi semula jadi tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Perundingan JLL Malaysia Yulia Nikulicheva berkata kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan semakin penting dalam mempercepatkan penambahbaikan infrastruktur dan kelulusan projek.
“Pasaran pusat data Malaysia kini berada dalam fasa penyatuan, disokong oleh angka yang kukuh iaitu 638 megawatt (MW) kapasiti siap, 1,300 MW dalam pembinaan dan lebih 3,450 MW dalam perancangan,” katanya.
Pada majlis yang sama, JLL Malaysia turut melancarkan Malaysia Property Intelligence Centre (MPIC) — sebuah platform analitik interaktif yang bertujuan mengubah cara pemain industri mengakses, memvisualisasikan dan mentafsir data hartanah.
“Dalam persekitaran hartanah yang pantas hari ini, akses kepada maklumat pasaran yang tepat dan masa nyata penting dan ia bukan pilihan.
“MPIC mengubah data yang belum diproses kepada pandangan strategik, memberikan kelebihan yang muktamad kepada pelanggan kami dalam pasaran yang semakin kompleks,” kata Nikulicheva.
MPIC akan dilancarkan secara berperingkat bermula dengan sektor pejabat komersial dan berkembang ke segmen hartanah utama lain dari masa ke semasa.
-- BERNAMA