KLIA, LTAPP Perluas Capaian Global Dengan Lima Perkhidmatan Baharu Pada Jun 2025 - MAHB

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan global dengan penambahan lima perkhidmatan udara antarabangsa baharu pada Jun 2025.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan berkata dua daripada perkhidmatan baharu itu diperkenalkan oleh rakan kongsi syarikat penerbangan baharu, meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan akses serantau.

Cambodia Airways (KR) melancarkan perkhidmatan dua kali seminggu antara Phnom Penh dan LTAPP manakala Juneyao Air (HO) mula mengendalikan empat penerbangan seacara mingguan dari Shanghai ke KLIA, meningkatkan pilihan perjalanan untuk penumpang dari China dan rantau Asia Timur yang lebih luas.

Selain itu, MAHB berkata tiga laluan baharu diperkenalkan oleh rakan kongsi syarikat penerbangan sedia ada, mencerminkan keyakinan berterusan dalam pasaran penerbangan Malaysia.

“Batik Air Malaysia memulakan perkhidmatan dua kali seminggu antara KLIA dan Dili, Timor-Leste; AirAsia Kemboja memperkenalkan laluan tiga kali seminggu menghubungkan KLIA ke Sihanoukville.

“AirAsia mula mengendalikan empat penerbangan mingguan antara KLIA dan Darwin, Australia,” kata MAHB.

Pada Jun lepas, MAHB termasuk asetnya di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) mengendalikan sejumlah 12.7 juta pergerakan penumpang.

"Daripada ini, lapangan terbang tempatan di Malaysia menyumbang 68 peratus atau 8.5 juta pergerakan penumpang, terdiri daripada 4.2 juta pengembara antarabangsa dan 4.3 juta pengembara domestik. ISG merekodkan 4.1 juta jumlah pergerakan penumpang, terdiri daripada 2.2 juta antarabangsa dan 1.9 juta domestik pada Jun," kata MAHB.

Sementara itu, MAHB berkata Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) mencatatkan pertumbuhan bulan ke bulan yang ketara pada Jun dengan pergerakan penumpang meningkat sembilan peratus, naik kepada 151,000 daripada 138,000 pada Mei lepas.

Trafik antarabangsa di SZB meningkat lebih 10 peratus kepada 40,000 penumpang manakala pergerakan domestik meningkat hampir sembilan peratus kepada 111,000.

MAHB berkata trend menaik itu disebabkan faktor muatan purata yang kukuh melebihi 70 peratus pada laluan serantau utama dikendalikan oleh Firefly Airlines ke Seletar, Scoot ke Changi dan TransNusa Airlines ke Jakarta.

Dalam pada itu, peningkatan perjalanan domestik juga dirangsang oleh perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai (pesta menuai) di Sabah dan Sarawak serta sambutan Hari Raya Aidiladha yang turut jatuh pada musim cuti persekolahan.

-- BERNAMA