BERITA TERKINI   Pemimpin desa perlu mahir teknologi untuk memanfaat media sosial bagi berkomunikasi dengan penduduk - TPM Ahmad Zahid | 

Kerajaan Raih Pelaburan Lebih RM63 Bilion Melalui NSS Setakat Mac 2025 - PM Anwar

PETALING JAYA, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan memperoleh pelaburan lebih RM63 bilion melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sehingga Mac tahun ini, dengan sebanyak RM5 bilion daripada sumber domestik dan RM58 bilion daripada sumber asing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata antara projek penting termasuk pembungkusan termaju Carsem bagi kecekapan tenaga, kenderaan elektrik (EV), kesalinghubungan dan kecerdasan buatan (AI); produk semikonduktor NXP,  kilang fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar di dunia yang dimiliki Infineon; mikrofon MEMS dan sensor Syntiant; serta pengilangan dan pengilangan semula papan litar bercetak oleh Plexus.

Mengenai sasaran pengembangan 10 syarikat semikonduktor dengan perolehan lebih US$1 bilion; dan 100 syarikat dengan perolehan lebih RM1 bilion, beliau berkata Malaysia kini mempunyai sekurang-kurangnya 13 syarikat tempatan dalam rantaian nilai semikonduktor yang berpotensi menjadi peneraju industri di peringkat nasional.

“Sembilan daripadanya termasuk Carsem, Inari, Pentamaster, ViTrox dan Kelington, masing-masing dijangka menjana pendapatan lebih RM500 juta tahun ini.

“Empat lagi adalah syarikat reka bentuk dan pembangunan litar bersepadu (IC) yang mempunyai momentum kukuh seperti OppStar, SkyeChip, Infinecs dan Experior, dengan kesemuanya merekodkan pertumbuhan pendapatan tahunan lebih 25 peratus.

“Lima puluh tahun daripada sekarang, kita mahu Malaysia mengenang saat ini sebagai titik perubahan apabila negara mula membina syarikat teknologi Fortune 500 milik sendiri,” kata beliau dalam ucap tama pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 di sini hari ini.

Mengenai usaha melahirkan 60,000 jurutera dan dengan mengambil kira tenaga kerja mahir yang terhad dalam bidang teknologi, Perdana Menteri berkata CREST dan HRD-Corp menjalinkan kerjasama untuk membangunkan bakat teknologi yang kukuh bagi industri semikonduktor mulai 2025 hingga 2030.

“Ini adalah komitmen utama melalui NSS, dengan cadangan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Dilancarkan pada 28 Mei 2024, NSS adalah inisiatif kerajaan untuk mentransformasikan negara menjadi kuasa global dalam industri semikonduktor.

Strategi ini meliputi pelan tiga fasa, bersandarkan sokongan fiskal sebanyak RM25 bilion dan insentif yang disasarkan.

Ia menyasarkan untuk menarik pelaburan besar, membangunkan juara tempatan dan memupuk tenaga kerja mahir, dengan matlamat untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor, khususnya dalam reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan peralatan pembuatan.

Pada masa hadapan, Anwar berkata Malaysia kini bersedia untuk memberikan sokongan lebih teguh terhadap NSS, terutamanya dalam mengembangkan 10+100 juara negara, yang akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama.

“Kami akan memanfaatkan lebih banyak modal pemangkin untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) peringkat awal, pembangunan produk, dan pengembangan ekosistem.

"Ini termasuk set instrumen pembiayaan bersasar, dana padanan, dan insentif yang disesuaikan, di samping pelaburan berterusan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kita yang semuanya bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan semikonduktor tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global," kata beliau.

Setakat ini, Anwar berkata kerajaan telah menerima pelbagai bentuk komitmen benrilai lebih RM2 bilion untuk menyokong pembangunan industri itu, daripada kerajaan dan modal pelaburan pemegang taruh lain.

"Ini termasuk sokongan daripada GLIC seperti Khazanah dan KWAP (di bawah inisiatif GEAR-uP), Bank Negara Malaysia dan melalui perkongsian dengan pemain global,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan meningkatkan penggunaan strategik teknologi semikonduktornya melalui kerjasama Kerajaan-kepada-Kerajaan yang lebih mendalam, meluaskan akses pasaran untuk syarikat Malaysia dan menjalin perkongsian teknologi.

"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia akan meneraju usaha untuk mengukuhkan kerjasama serantau, meletakkan ASEAN sebagai hab utama dan berdaya saing dalam rantaian nilai semikonduktor global," kata beliau.

Anwar berkata dalam memperkukuh ekosistem bakat melalui inisiatif CREST dan HRD Corp kerajaan juga akan memacu kerjasama yang lebih padu merentas institusi awam, swasta dan akademik untuk membina tenaga kerja berkaitan industri pada masa depan.

"Sejajar dengan itu, kita juga akan memperhebatkan usaha R&D kita melalui kerjasama strategik antara kerajaan, industri, dan ahli akademik, memastikan Malaysia membina keupayaan fokus dan kekal berdaya saing dalam landskap global berteknologi tinggi yang berkembang pesat," kata beliau.

-- BERNAMA