BNM Kenakan Penalti Terhadap BIMB, Bank Rakyat Dan BSN Berikutan Ketidakpatuhan
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) berjumlah RM3.445 juta ke atas Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) berikutan ketidakpatuhan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) dan dokumen dasar berkaitan.
Dokumen dasar berkaitan itu termasuklah Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD) dan Dokumen Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Sekatan Kewangan Bersasar untuk Institusi Kewangan, kata bank pusat dalam satu kenyataan hari ini.
BNM berkata BIMB membayar RM1.70 juta bagi AMP yang dikenakan pada 29 Mei, 2025, berkaitan keperluan saringan sekatan dan RM1.745 juta bagi AMP yang dikenakan pada 30 Jun, 2025, berkaitan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.
Bank pusat juga mengenakan AMP sebanyak RM2.85 juta ke atas Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (BKRM) berikutan ketidakpatuhan terhadap Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) dan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT PD).
BKRM membayar RM2.850 juta bagi AMP dikenakan oleh BNM pada 26 Jun, 2025.
Selain itu, bank pusat juga mengenakan AMP sebanyak RM995,000 ke atas Bank Simpanan Nasional (BSN) kerana ketidakpatuhan terhadap DFIA dan PD RMiT.
BSN membayar RM995,000 bagi AMP dikenakan oleh BNM pada 25 Jun, 2025, kata BNM.
-- BERNAMA