IATA: Permintaan Kargo Udara Jun Melemah Kepada 0.8 Peratus
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Permintaan industri kargo udara, yang diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK), meningkat 0.8 peratus dari tahun ke tahun menjelang Jun 2025, turun berbanding 2.2 peratus pada Mei, mencerminkan ketidakpastian yang berterusan dalam pasaran kargo di tengah-tengah ketegangan perdagangan.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melalui satu kenyataan berkata CTK antarabangsa menokok 1.6 peratus dari tahun ke tahun, dengan kebanyakan kawasan serta laluan mencatatkan keuntungan satu angka, manakala Asia Pasifik menerajui pertumbuhan kargo udara antarabangsa dengan peningkatan 8.3 peratus.
Sebagai perbandingan, langkah-langkah perdagangan yang diperkenalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah membawa kepada kejatuhan trafik masuk dan keluar dari Amerika Utara.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata data kargo udara Jun mencerminkan bertapa pentingnya kestabilan dan kebolehramalan sebagai sokongan utama untuk perdagangan.
"Kejelasan yang muncul pada tarif AS membolehkan perniagaan mewujudkan keyakinan yang lebih tinggi dalam perancangan tetapi kita tidak dapat mengabaikan fakta bahawa kejayaan dalam memuktamadkan 'beberapa perjanjian' telah mengakibatkan tarif yang jauh lebih tinggi terhadap barangan yang diimport ke AS berbanding hanya beberapa bulan sebelumnya.
"Kerosakan ekonomi dalam halangan kos bagi perdagangan ini masih belum dapat dilihat sepenuhnya. Sementara itu, kerajaan perlu berusaha untuk memudahkan perdagangan. mempercepatkan, menjadikannya lebih lebih murah dan selamat melalui pendigitalan," katanya.
Menurut IATA, yang mewakili kira-kira 350 syarikat penerbangan yang merangkumi lebih daripada 80 peratus trafik udara global, jumlah kargo udara kekal kukuh di kebanyakan pasaran walaupun dasar perdagangan AS yang agak ketat.
"Bagaimanapun, pada Jun 2025, gangguan udara di Timur Tengah telah menghalang keupayaan rantau ini untuk membangun dan mengembangkan operasi melalui habnya, kata persatuan itu.
"Akibatnya, banyak laluan yang menghubungkan Amerika Utara dan Timur Tengah telah menyaksikan kejatuhan permintaan.
"Ini menyebabkan hasil kargo menurun 2.5 peratus dari tahun ke tahun. Bagaimanapun, pasaran telah menyerap sebahagian daripada kejutan awal, dengan sedikit pemulihan sebanyak 0.9 mata peratusan berbanding bulan sebelum ini," katanya.
IATA ketika mengulas mengenai pembuatan global memberitahu bahawa output yang diukur oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) kembali melangkaui ambang 50 mata, mencapai 51.2 pada Jun 2025, yang mewakili kemerosotan dari tahun ke tahun sebanyak 1.6 peratus tetapi melonjak 4.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.
"Walaupun output bertambah pada Jun, pesanan eksport baharu naik 1.2 titik indeks dari Mei, mencapai 49.2, masih berada di bawah paras 50.
"Pesanan baharu dalam eksport akan terus terjejas oleh perubahan dalam dasar perdagangan AS, yang telah membentuk semula dinamik permintaan global dan memberi kesan ke atas aliran perdagangan," katanya lagi.
-- BERNAMA