Pelabuhan Tuna, Hasil Laut Dalam Sabah Berpotensi Jana Hingga RM1.8 Bilion Setahun

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Pembangunan pelabuhan bagi pendaratan ikan tuna dan hasil laut dalam bertaraf Kesatuan Eropah di Kota Kinabalu berpotensi menjana nilai ekonomi sehingga RM1.8 bilion setahun, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata pelabuhan itu adalah pelaburan strategik berimpak tinggi pertama dalam sektor Ekonomi Biru, yang dibangunkan oleh kerajaan negeri bersama-sama syarikat tempatan dengan nilai pelaburan mencecah RM360 juta. 

“Pelabuhan itu yang dijangka mendaratkan 50,000 tan ikan tuna setahun akan meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama industri perikanan laut dalam,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalan menterinya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Hajiji berkata penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah pada 2024 setelah ditutup pada 1981, berpotensi memperkasakan industri padi tempatan dan meningkatkan tahap sara diri beras kepada 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030.

Katanya langkah itu selaras dengan keutamaan Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar yang memberikan perhatian terhadap kepentingan sektor pertanian, khususnya penanaman padi dan pengeluaran beras tempatan.

“Sektor pertanian menyumbang sebanyak RM12.2 bilion atau 14.5 peratus kepada keluaran dalam negeri kasar Sabah.

“Maka kerajaan negeri memberi keutamaan untuk terus memperkasakan bidang ini dengan pendekatan lebih strategik dan inklusif,” katanya.

Hajiji berkata Sabah kini mempunyai 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan yang berjaya menghasilkan lebih 1,494 tan metrik hasil makanan dan menjana pulangan melebihi RM4.32 juta setakat ini.

Seiring transformasi sektor agromakanan negara, Hajiji menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden seperti Internet Pelbagai Benda dan pertanian pintar bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, menjana produktiviti yang lebih tinggi dan menarik minat golongan muda. 

-- BERNAMA