KUSKOP Sasar Tingkatkan Bilangan Firma Saiz Sederhana Kepada 5 Peratus Menjelang 2030

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasar untuk meningkatkan bilangan firma bersaiz sederhana dalam komposisi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada 1.6 peratus sekarang kepada 5.0 peratus menjelang 2030. 

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP akan terus membangunkan PMKS melalui pelaksanaan intervensi bersasar. 

"Demi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka masa panjang, penskalaan perniagaan PMKS akan menjadi agenda utama dalam melonjakkan pertumbuhan mereka dan sekali gus mewujudkan PMKS yang lebih berdaya tahan menghadapi sebarang kejutan pada masa depan. 

"Beberapa inisiatif baharu telah dikenal pasti sebagai pemacu kepada agenda ini, termasuk meningkatkan penyertaan PMKS dalam aktiviti bernilai tambah tinggi, model perniagaan disruptif dan rantaian nilai global serta meningkatkan penyenaraian PMKS di papan pasaran (Bursa Malaysia)," katanya pada sidang media mengenai prestasi PMKS 2024, anjuran SME Corporation Malaysia, hari ini.

Ewon berkata meskipun pelaksanaannya agak mencabar, namun tidak mustahil untuk dicapai. 

"Sejak dua tahun lepas iaitu antara 2023 hingga 2025, hasil Tinjauan PMKS 2025 menunjukkan sejumlah 8.5 peratus firma telah memformalkan perniagaan mereka manakala 7.3 peratus PMKS pula telah berjaya diskalakan kepada entiti yang lebih besar. 

"PMKS yang berjaya menskalakan perniagaan ini didapati memiliki kelebihan daya saing yang tinggi, iaitu terlibat dalam industri berimpak tinggi; mengeksport ke pasaran antarabangsa; membekal secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan kepada firma bukan PMKS; serta menerapkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan," katanya.

Pada 2024 PMKS terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekonomi Malaysia  dengan menyumbang sebanyak RM652.4 bilion. 

Statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan PMKS berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2024, mengatasi prestasi bukan PMKS pada 4.7 peratus dan ekonomi negara yang berkembang sekitar 5.1 peratus.

-- BERNAMA