Bank, Pemain Fintech Tingkat Pengembangan Rentas Sempadan Dan Kerjasama Di ASEAN
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Institusi kewangan dan pemain teknologi kewangan (fintech) sedang meningkatkan usaha untuk berkembang merentas ASEAN, mengguna pakai strategi yang disesuaikan bagi mengukuhkan kehadiran dalam landskap perkhidmatan kewangan digital rantau ini.
Mencerminkan anjakan serantau ini, ketua pegawai eksekutif CIMB Bank Bhd dan CIMB Malaysia Gurdip Singh Sidhu berkata bank itu meningkatkan kehadirannya di ASEAN melalui pengembangan fizikal dan penawaran digital rentas sempadan, satu strategi yang membolehkan ia memberi perkhidmatan kepada lebih 50 juta pengguna di rantau Asia Tenggara.
“Kami mungkin dilihat sebagai institusi kewangan legasi, tetapi kami sedang mempercepatkan transformasi digital kami. Pada masa yang sama, kami juga merupakan pelabur terbesar dalam Touch ‘n Go Digital, yang mengendalikan e-dompet terbesar di Malaysia, dan berfungsi sebagai aplikasi super digital bukan bank, memudahkan urus niaga yang lebih lancar.
“Dengan Touch ‘n Go eWallet kini disokong pada platform Alipay+, pembayaran rentas sempadan akan lebih lancar bagi pelawat asing dan juga rakyat Malaysia di luar negara, di samping membolehkan perusahaan kecil dan sederhana tempatan menerima bayaran daripada pelanggan antarabangsa,” katanya semasa Sesi Panel Media bertajuk ‘Going Beyond Borders: How Fintechs and Financial Institutions are Scal Redefining’ pada Selasa.
Mengenai pengembangan serantau, Gurdip berkata CIMB berjaya bertapak di Filipina dan mewujudkan kehadiran digital pertama dalam masa enam tahun sahaja.
"Kami bekerjasama dengan e-dompet tempatan utama dan pada mulanya menawarkan produk perbankan melalui antara muka pengguna merekasebelum melancarkan aplikasi kami sendiri. Hari ini, kami menyediakan perkhidmatan kepada hampir 10 juta pelanggan. Semuanya melalui digital," katanya.
Bagi menyokong integrasi serantau yang lebih luas, penyedia fintech dan pembayaran digital global Ant International turut memperkukuh infrastruktur rentas sempadan melalui platform Alipay+nya.
Pengurus besar perkhidmatan dan sokongan perniagaan global Ant International, Jake Xue, berkata syarikat itu mengembangkan infrastruktur pembayaran rentas sempadan dan perkhidmatan kewangan digital untuk menghubungkan 1.7 bilion pengguna dengan lebih 100 juta pedagang di seluruh dunia.
Pengurus besar perkhidmatan dan sokongan perniagaan global Ant International, Jake Xue, berkata syarikat itu mengembangkan infrastruktur pembayaran rentas sempadan dan perkhidmatan kewangan digital untuk menghubungkan 1.7 bilion pengguna dengan lebih 100 juta pedagang di seluruh dunia.
"Malaysia strategik kepada wawasan global kami, bukan sahaja sebagai pintu masuk ke ASEAN, tetapi juga sebagai sumber bagi mencari bakat yang pelbagai dan celik digital," katanya, sambil menambah syarikat itu merancang untuk mengembangkan pasukannya di Malaysia kepada 1,000 pekerja menjelang akhir tahun, meningkat daripada 800 pada masa ini.
Mengenai usaha menyokong pemula niaga yang berhasrat berkembang di peringkat, Xue berkata Ant International membentuk perkongsian strategik dengan pemain tempatan dan serantau.
“Dengan syarikat pemula niaga, kami membangunkan bersama penyelesaian dan memberikan pendedahan global melalui inisiatif seperti program Tech for Inclusion 10x1000 kami,” katanya.
Sementara itu, Ketua Produk dan Penyelesaian Visa bagi Rantau Asia Tenggara Kim Hak berkata memandangkan pembayaran rentas sempadan masih kompleks dan memerlukan perancangan serta penyelarasan yang teliti, ini menjadikan kebolehoperasian dan piawaian bersama sebagai elemen penting.
“Ia bergantung kepada kepercayaan terhadap sistem. Jika sebuah syarikat fintech (teknologi kewangan) memasuki ruang tanpa rekod prestasi yang terbukti, mempunyai piawaian yang konsisten dan diiktiraf atau rangka kerja yang boleh beroperasi bersama akan membantu membina keyakinan -- untuk kami sebagai rakan kongsi dan bagi keupayaan mereka untuk berkembang,” katanya.
Presiden Persatuan Fintech Malaysia (FAOM) Anil Singh Gill berkata Bank Negara Malaysia (BNM) kini diiktiraf di peringkat global sebagai antara pengawal selia yang paling kukuh dan kompeten dari segi tadbir urus kewangan untuk institusi dan syarikat fintech.
“BNM mempunyai garis panduan yang jelas seperti Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT), yang sangat membantu. Bagaimanapun, perkara yang mungkin kita perlukan seterusnya ialah kewangan terbuka, yang boleh memperkenalkan persaingan dan ketelusan, sekali gus mengukuhkan lagi kepercayaan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Nexea Ben Lim berkata kerjasama korporat boleh berperanan sebagai satu bentuk sokongan yang kuat untuk syarikat pemula niaga, menandakan mereka telah melepasi kajian daya maju dan bersedia untuk berkembang.
“Sebagai contoh, satu daripada syarikat pemula niaga kami, Lapasa, berkembang 16 kali -- 1,600 peratus dalam tempoh setahun -- hanya kerana berjaya mendapat satu pelanggan korporat yang besar. Pelanggan sedemikian boleh memberi lonjakan yang diperlukan untuk syarikat pemula niaga berkembang ke peringkat rantau atau global,” katanya.
Sesi Panel Media itu diadakan di luar Minggu MyFintech 2025 (MyFW 2025) yang berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos dan menghimpunkan hampir 1,000 pemimpin industri, badan kawal selia dan inovator bagi meneroka masa depan kewangan dan teknologi.
Minggu MyFintech edisi ketiga itu mengangkat tema “Ideate, Innovate, Co-create: Shaping the Future of Finance” sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai acara fintech utama negara.
Acara itu dianjurkan bersama oleh Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Asian Institute of Chartered Bankers, FAOM dan Malaysia Digital Economy Corporation.
Program tahun ini menampilkan ucaptama, perbincangan panel, kelas utama, bengkel dan demonstrasi langsung, yang menyoroti trend dan penyelesaian yang mendorong inovasi serta keterangkuman kewangan.
-- BERNAMA