BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini selepas terseret oleh kebimbangan mengenai peningkatan pengeluaran dan permintaan yang lemah pada minggu-minggu akan datang.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata jangkaan kenaikan paras stok mungkin memberi tekanan ke atas harga. 

"Kami melihat sokongan harga MSM pada paras RM4,180 setan, dengan rintangan pada RM4,300 setan," katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa menyatakan bahawa niaga hadapan MSM meneruskan penurunan untuk sesi kedua berturut-turut selepas para peniaga terus mengambil keuntungan susulan lonjakan pada Isnin lepas.

"Walaupun kebimbangan mengenai peningkatan bekalan berterusan, prospek permintaan yang lebih positif membantu mengatasi kelemahan berkaitan," katanya.

Pada penutup, bulan semerta Ogos jatuh RM18 kepada RM4,202 setan, September 2025 merosot RM25 kepada RM4,222 setan dan Oktober 2025 turun RM27 kepada RM4,240 setan.

November 2025 berkurangan sebanyak RM23 kepada RM4,257 setan, Disember 2025 merosot RM19 kepada RM4,270 setan dan Januari 2026 juga susut RM14 kepada RM4,280 setan.

Jumlah dagangan menokok kepada 54,424 lot berbanding 53,291 yang dicatatkan semalam, manakala kepentingan terbuka naik kepada 227,566 kontrak daripada 226,626. 

 Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan kekal tidak berubah pada RM4,230 setan.

-- BERNAMA