KPDN Cadang Perkenal Undang-undang Baharu Kawal Selia e-Dagang

KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencadangkan agar satu undang-undang baharu digubal khususnya untuk mengawal selia e-dagang bagi memastikan ia lebih tersusun dan efektif di peringkat nasional.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata cadangan itu berpaksikan tiga teras utama iaitu penetapan tanggungjawab industri yang lebih jelas, penguatkuasaan lebih berkesan serta perlindungan menyeluruh kepada pengguna dan peniaga kecil dalam ekosistem digital.

“KPDN akan memastikan bahawa ekosistem e-dagang yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga selamat, telus dan beretika. Untuk itu, kerjasama daripada semua pihak amat penting. 

“Kementerian berharap input konstruktif daripada sesi libat urus ini dapat memperkukuh draf cadangan perundangan baharu yang akan dikemukakan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Libat Urus Semakan Semula Perundangan E-Dagang, di sini hari ini.

Beliau berkata sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem e-dagang termasuk wakil industri, platform digital, persatuan peniaga, pertubuhan perlindungan pengguna, wakil kementerian dan agensi, pakar perundangan serta ahli akademik.

Katanya sesi libat urus itu merupakan siri kedua anjuran KPDN yang menekankan keperluan untuk mengemas kini perundangan e-dagang sedia ada agar kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia ekosistem digital yang berkembang pesat. 

“Penambahbaikan ini penting bagi memastikan dasar serta peraturan semasa mampu menampung perubahan landskap perniagaan dalam talian yang semakin dinamik di samping memperkukuh perlindungan kepada pengguna yang kini berdepan pelbagai cabaran dan risiko dalam urus niaga digital.

“E-dagang kini bukan sahaja menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia, malah turut berperanan sebagai pemacu utama ekonomi digital negara. Namun, pertumbuhan pesat ini turut disertai pelbagai risiko seperti penipuan, penjualan produk tidak selamat serta kekangan penguatkuasaan rentas sempadan,” katanya.

Sehubungan itu, Fuziah berkata hasil Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dijalankan menunjukkan keperluan untuk mewujudkan satu kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif, demi memastikan tadbir urus e-dagang yang lebih tersusun dan efektif di peringkat nasional.

-- BERNAMA