BERITA TERKINI   Kes serangan terhadap anak Rafizi: PM Anwar mahu KDN lakukan siasatan segera dan telus | KDN pandang serius insiden serangan terhadap anak Rafizi - Saifuddin Nasution | Kematian pelatih kadet PALAPES UTM: 22 saksi telah diambil keterangan - Ketua Polis Johor | 

Pembangunan Bakat Dalam Bidang EV Perlu Ditingkatkan Supaya Seiring Permintaan - Exco

BUKIT MERTAJAM, 10 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang berharap usaha membangunkan bakat tempatan dalam industri kenderaan elektrik (EV) ditingkatkan agar seiring dengan permintaan pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata pembangunan bakat penting bagi ekosistem industri berkenaan yang memerlukan mekanik dan jurutera automotif berkepakaran dalam mengendalikan EV.

"Kami harap kerjasama pusat latihan kemahiran kerajaan atau swasta dalam industri EV bagi  menyediakan bakat berkemahiran tinggi terus ditingkatkan supaya mampu melahirkan ramai anak muda dalam bidang terbabit,” katanya.

Beliau ditemui penberita selepas menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian persefahaman (MoU) antara EV PLUS Mobility Solutions dan SLC Auto Academy bagi memajukan mobiliti hijau dan pembangunan bakat di SLC Auto Academy di sini hari ini.

Zairil berkata kerjasama antara EV PLUS Mobility Solutions dan SLC Auto Academy adalah langkah penting dalam meletakkan Pulau Pinang ke arah negeri hijau dan mampan pada masa depan, sekali gus selari dengan dasar kerajaan dalam menggalakkan penggunaan EV dan rendah karbon.

"Mereka akan menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada anak-anak muda yang berminat dalam industri automotif khususnya dalam bidang EV. Pada masa ini Malaysia  menjurus mempromosikan kenderaan EV, jadi usaha ini penting kerana kita nak capai bakat yang seiring dengan permintaan pasaran," katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran SLC Auto Academy Shahrirl Anuar Shah Abdullah berkata pihaknya menawarkan kursus  kepada pelajar yang kebanyakannya tercicir daripada persekolahan supaya mereka mempunyai kemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata pihaknya menawarkan kursus dalam pelbagai bidang automotif termasuk EV untuk peringkat sijil iaitu selama dua tahun dan tiga tahun bagi peringkat diploma kepada pelajar berusia 16 hingga 23 tahun.

"Dari segi peluang pekerjaan memang luas dan pelajar kita mendapat kerja sebaik sahaja tamat kursus. Ada dalam kalangan mereka yang telah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat ketika masih belajar kerana mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang itu," katanya.

-- BERNAMA