Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Jajaran RM4.20 Hingga RM4.22 Minggu Depan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Ringgit dijangka berlegar-legar antara RM4.20 dan RM4.22 minggu depan berikutan peniaga serta pelabur kekal berhati-hati terhadap arah aliran kadar faedah Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan dikeluarkan pada Khamis depan, 20 Ogos (Rabu, 19 Ogos di AS), boleh menjelaskan lebih lanjut berhubung keadaan ekonomi AS.
Katanya, ini terutamanya selepas dua anggota FOMC tidak bersetuju dengan keputusan terkini dan menyokong penurunan kadar 25 mata asas.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata pasaran terus berubah antara dua hingga tiga penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam beberapa minggu lepas.
“Kami mengekalkan unjuran asas kami untuk dua penurunan, disokong oleh bukti iaitu syarikat-syarikat sedang menyerap kos tarif, satu aliran yang tidak mampan dan berkemungkinan menekan margin,” menurutnya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, bank pelaburan itu berkata, pelonggaran selanjutnya memerlukan sama ada kemerosotan ketara dalam laporan pekerjaan akan datang atau dasar monetari yang longgar daripada Pengerusi Fed, Jerome Powell.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan ringgit akan berlegar-legar dalam julat RM4.22 hingga RM4.23 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pada Khamis, ringgit mengukuh ke paras 4.18 berbanding dolar AS iaitu paras tertingginya dalam lebih enam minggu.
Kali terakhir ringgit mencapai paras tinggi yang hampir sama pada 1 Julai apabila ia mencecah 4.1805.
Sementara itu, bagi tempoh Jumaat ke Jumaat, ringgit mengakhiri minggu ini lebih kukuh berbanding dolar AS, ditutup pada paras 4.2085/2155 daripada 4.2420/2480 sebelumnya.
Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8653/8702 daripada 2.8720/8763 pada minggu sebelumnya dan turut meningkat berbanding euro kepada 4.9185/9267 daripada 4.9381/9451.
Namun, ia menyusut berbanding pound Britain kepada 5.7050/7145 daripada 5.7034/7114.
Ringgit turut menunjukkan aliran yang lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2820/2877 daripada 3.3014/3064 pada akhir minggu lepas, menokok sedikit berbanding baht Thai kepada 12.9760/13.0032 daripada 13.1173/1419, mencatat peningkatan berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.8 daripada 260.3/260.8, dan turut berkembang berbanding peso Filipina kepada 7.37/7.39 daripada 7.43/7.44 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA