BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Tasik Kenyir Sebagai Hab AI Masih Perlu Analisis Kos Faedah - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kerajaan perlu melaksanakan Analisis Kos Faedah (CBA) sebelum mempertimbangkan Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan menyambut baik cadangan untuk mengkaji potensi Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan pusat data dan AI, memandangkan kawasan itu mempunyai kelebihan dari segi tenaga hidro, bekalan air dan infrastruktur asas.

Tetapi kata beliau, Terengganu masih belum berada dalam kelompok "hot spot" industri pusat data dan penilaian menyeluruh perlu dibuat bagi memastikan projek itu benar-benar sesuai dan berdaya maju.

"Oleh yang demikian, perbincangan lanjut harus dilaksanakan dengan semua pihak berkepentingan bagi meneliti dan mengkaji kesesuaian Tasik Kenyir sebagai hab pusat data dan AI dari segi infrastruktur tenaga, air, dan rangkaian telekomunikasi yang memenuhi piawaian industri untuk menarik pelaburan strategik ke Terengganu," katanya.

Tengku Zafrul menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) berhubung potensi Tasik Kenyir sebagai hab pelaburan pusat data dan AI pada sesi penggulungan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat hari ini.  

Sementara itu, beliau berkata dari segi tenaga, Tasik Kenyir mempunyai kelebihan dengan adanya loji janakuasa hidro di Kenyir dan Hulu Terengganu, selain potensi pembangunan projek solar terapung serta hab hidrogen hijau pada masa depan.

Mengenai bekalan air pula, loji rawatan air sedia ada mampu menampung permintaan dengan rancangan naik taraf sehingga 2027 untuk menambah kapasiti, katanya.

Tambahnya, infrastruktur telekomunikasi turut dipertingkatkan dengan liputan jalur lebar sehingga 1Gbps melalui projek Broadband for General Population (BBGP).

"Tetapi, kelajuan sedia ada masih belum mencukupi bagi memenuhi keperluan pusat data dan penaiktarafan adalah diperlukan sekiranya pembangunan pusat data dilaksanakan di kawasan itu," kata beliau.          

--BERNAMA