MPOC Jangka Harga MSM Kekal Atas RM4,300 Setan Dalam Jangka Terdekat
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka berada di atas RM4,300 setan dalam jangka masa terdekat walaupun berlaku ketidakstabilan harga, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
MPOC melalui satu kenyataan hari ini memberitahu ketersediaan eksport minyak kacang soya yang agak terhad, digabungkan dengan prospek pertumbuhan bekalan minyak sawit yang lebih perlahan berbanding dengan permintaan biodiesel, mungkin memberikan sokongan yang berterusan.
"MSM baru-baru ini melonjak di atas RM4,500 setan dan mungkin kekal tidak menentu pada minggu -minggu akan datang. Namun, kemampanan kekuatan harga minyak sawit amat bergantung kepada daya saingnya terhadap minyak kacang soya di pasaran eksport," katanya.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengunjurkan bahawa 52 peratus daripada pengeluaran minyak kacang soya AS akan digunakan secara domestik untuk biodiesel menjelang 2026, meningkat sebanyak 1.5 juta tan (26.7 peratus) kepada 7.0 juta tan pada 2026.
Kenaikan dalam penggunaan domestik akan mengurangkan ketersediaan eksport, dengan eksport minyak kacang soya diramalkan menurun daripada 1.15 juta tan pada 2025 kepada hanya 310,000 tan pada 2026.
Mengenai import minyak sawit, import minyak sawit India dari Malaysia menokok 16 peratus pada Julai kepada 301,000 tan, yang tertinggi dalam tempoh sembilan bulan, walaupun inventori minyak sawit Malaysia naik ke paras tertinggi 19 bulan iaitu sebanyak 2.11 juta tan pada kadar eksport yang lebih perlahan.
"Permintaan dari India dijangka tetap teguh pada September apabila pengimport mula menambah bekalan di hadapan perayaan Diwali. Sub-Sahara Afrika juga akan mengekalkan import yang mantap kira-kira 300,000 tan, memberikan sokongan tambahan untuk eksport," katanya.
Walaupun stok minyak sawit Malaysia telah meningkat sejak Februari, tekanan bekalan masih terhad disebalik perlaksanaan berterusan program biodiesel Indonesia, yang mana, ia telah menggunakan lebih daripada satu juta tan minyak sawit secara bulanan sejak Februari, menghalang pengumpulan simpanan di negara berkenaan.
"Menurut Oil World, pengeluaran minyak sawit global diunjurkan bertambah sebanyak 1.6 juta tan untuk mencapai 83.1 juta tan menjelang tahun hadapan, dengan sebahagian besar kenaikan disumbangkan dari Indonesia.
"Dengan pertumbuhan bekalan yang belum mencukupi bagi menampung permintaan biodiesel, harga minyak sawit mungkin kekal teguh. Oleh itu, stok minyak sawit Malaysia tidak mungkin melihat lebihan bekalan pada September dan Oktober 2025," kata MPOC.
-- BERNAMA