BERITA TERKINI   KKM lancar garis panduan tangani kes buli di tempat kerja secara telus dan adil - Dzulkefly | Setiap laporan buli di institusi KKM akan dipantau rapi dan diambil tindakan tegas tanpa kompromi - Dzulkefly | Seorang guru Siti Hajar Aflah Sharuddin didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan menimbulkan kegentaran awam berkaitan kes kematian Zara Qairina | 22 juta pemegang MyKad boleh semak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah di portal rasmi SARA bermula hari ini - MOF | Peranan perantaraan Malaysia antara Thailand dan Kemboja buktikan ASEAN mampu kekal sebagai penjaga keamanan walaupun dalam waktu mencabar - PM Anwar | 

Malaysia Lihat ASEAN Sebagai Rantau Pertumbuhan Strategik Dalam Cabaran Global - MITI

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia melihat ASEAN sebagai rantau berpotensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya dan bersedia untuk menjadi pemacu pertumbuhan dan daya tahan yang dinamik dalam keadaan ketidaktentuan global, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) MITI Mastura Ahmad Mustafa berkata ASEAN bukan sahaja sebagai pasaran besar, malah merupakan sumber inovasi, kreativiti dan tenaga dengan jumlah penduduk menghampiri 700 juta orang, dan hampir satu pertiga daripadanya adalah golongan belia.

“Kelebihan demografi yang kita miliki, berserta kelas pengguna yang berkembang pesat, peningkatan kesalinghubungan dan penerimaan digital yang semakin pantas, memberikan ASEAN kelebihan yang tersendiri.

“Jika dipupuk berdasarkan prinsip kemampanan dan keterangkuman, kekuatan ini bukan sahaja akan memperteguh pertumbuhan rantau kami, malah akan meletakkan ASEAN untuk berperanan membentuk masa depan ekonomi global,” katanya berucap pada majlis makan malam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN Ketiga (SEOM 3/56) dan Mesyuarat Berkaitan malam ini.

Mastura berkata, melalui Kepengerusian ASEAN, Malaysia sedang berusaha untuk memperdalam integrasi serantau, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan, merangsang pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab serta memajukan inovasi digital.

“Lebih penting lagi, kami komited untuk mewujudkan peluang kepada perniagaan semua peringkat, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana supaya mempunyai penglibatan bermakna dalam perjalanan pertumbuhan ASEAN,” katanya.

Sementara itu, MITI dalam kenyataan berasingan berkata perbincangan utama dalam SEOM 3/56 menumpukan kepada Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025; dan perkembangan terkini mengenai Keutamaan Tahunan 2025 di bawah bidang kuasa Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) /SEOM.

Selain itu, turut dibincangkan adalah pelaksanaan perjanjian ASEAN; kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA); dan agenda kemampanan ASEAN termasuk keneutralan karbon, ekonomi kitaran dan Grid Tenaga ASEAN.

MITI berperanan sebagai tuan rumah kepada SEOM 3/56 dan Mesyuarat Berkaitan bermula 18 hingga 23 Ogos di Kuala Lumpur.

Kementerian berkata perbincangan dengan Rakan Dialog ASEAN memberikan tumpuan untuk meninjau semula kemajuan dan isu utama berkaitan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada, serta status pelan kerja dan inisiatif kerjasama ekonomi yang sedang dilaksanakan.

-- BERNAMA