BERITA TERKINI   Insiden kemalangan pesawat F/A-18D Hornet: juruterbang, pembantu juruterbang dilaporkan selamat - KP Pahang | 

Untung Bersih Suku Kedua Press Metal Turun Kepada RM483.58 Juta, Umum Dividen Dua Sen

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Press Metal Aluminium Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2025 susut kepada RM483.58 juta daripada RM505.83 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2024.

Bagaimanapun, perolehan meningkat 5.9 peratus kepada RM4.19 bilion daripada RM3.95 bilion bagi tempoh yang sama didorong terutama oleh jumlah jualan lebih tinggi dan harga logam yang direalisasikan juga lebih tinggi.

Bagi tempoh enam bulan pertama, keuntungan bersih meningkat kepada RM945.35 juta daripada RM913.87 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun kewangan lepas manakala perolehan naik kepada RM8.09 bilion daripada RM7.57 bilion.

Press Metal turut meluluskan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 2.0 sen sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM164.80 juta, untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025. Dividen tersebut akan dibayar pada 29 Sept, 2025.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Paul Koon Poh Keong berkata sentimen dalam pasaran kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan walaupun ketegangan perdagangan menunjukkan tanda-tanda reda.

“Ramai pengilang masih mengharapkan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) akan mengubah atau memberikan pengecualian berkenaan struktur tarif  yang diumumkan, yang membawa kepada sentimen berhati-hati terhadap pembelian.

“Walaupun menghadapi suasana mencabar, permintaan terus berkembang secara sederhana dari tahun ke tahun pada separuh pertama tahun ini,” katanya.

Beliau berkata bekalan aluminium global yang terhad telah menyokong harga logam, didorong oleh bekalan yang lemah ekoran risiko geopolitik.

Selain itu, harga bahan mentah yang lebih rendah memberi kesan positif kepada operasi peleburan Press Metal, katanya.

Koon berkata ketika ini kesan tarif terhadap inflasi di AS dan seterusnya ke atas permintaan pengguna adalah masih tidak menentu.

Permintaan semasa disokong terutama oleh penggunaan berkaitan tenaga boleh baharu dan pengisian semula inventori tepat pada masanya (just-in-time (JIT)), katanya.

JIT dalam sektor pembuatan bermakna bahan mentah atau komponen diterima daripada pembekal tepat pada masanya untuk digunakan dalam proses pengeluaran tanpa perlu menyimpan stok berlebihan.

Beliau berkata bagaimanapun, jangkaan pengurangan kadar faedah AS dan pelbagai langkah rangsangan kerajaan mungkin menyuntik sedikit optimisme terhadap pertumbuhan global kelak.

Memandangkan sifat unik aluminium, industri tenaga boleh baharu -- serta sektor baharu yang sedang pesat berkembang seperti kecerdasan buatan dan pusat data -- dijangka menjadi pemacu permintaan yang penting.

-- BERNAMA