BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

RAM Ratings Tingkat Penarafan Program Sukuk Solarvest Kepada AA3 Dengan Unjuran Stabil

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd menerima kenaikan penarafan daripada RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) bagi penarafan jangka panjang program nota jangka sederhana Islam/nota komersial Islam bernilai RM1 bilion (2023/2053) iaitu daripada A1 kepada AA3.

Pakar tenaga bersih serantau itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, unjuran ke atas kemudahan berkenaan disemak semula kepada stabil daripada positif.

“Menurut RAM Ratings, kenaikan penarafan ini mencerminkan asas perniagaan Solarvest yang semakin kukuh dan pertumbuhan yang memberangsangkan, disokong oleh nilai perolehan kontrak yang meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.2 bilion setakat akhir Jun 2025 (akhir Julai 2024: RM469 juta).

“Pada masa yang sama, tawaran nilai yang berbeza oleh Solarvest merupakan satu kelebihan daya saing serta mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran walaupun pasaran kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) solar di Malaysia berpecah-belah dan kompetitif,” katanya.

Ia juga berkata unjuran aliran tunai kumpulan yang sensitif bagi tempoh tiga tahun akan datang kekal dalam kedudukan tunai bersih dengan nisbah hutang terlaras dan liputan hutang daripada dana operasi terlaras masing-masing pada purata 0.51 dan 0.32 kali, sekali gus mengatasi rakan setaraf yang turut dinilai.

Solarvest berkata walaupun aliran tunai daripada aktiviti operasi, bersih daripada perbelanjaan modal, dijangka kekal negatif untuk suatu tempoh disebabkan perbelanjaan modal tahunan yang lebih tinggi iaitu sekitar RM525 juta, ia masih mengekalkan profil kecairan yang kukuh dan disokong oleh kemudahan perbankan yang belum digunakan serta akses berterusan kepada pasaran modal.

-- BERNAMA