Kerajaan Berjaya Kurangkan Hutang Baharu, Defisit Fiskal Terus Menyusut -- PM Anwar
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan hutang baharu negara berkurang secara berperingkat meskipun berdepan polemik politik yang berterusan mengenai kedudukan keseluruhan hutang negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pengurangan itu penting kerana selagi defisit fiskal wujud, jumlah keseluruhan hutang akan terus bertambah.
“Defisit fiskal memang mencabar. Kerajaan MADANI yang pertamanya sedang cuba menurunkan defisit fiskal dan hutang baharu walaupun menjadi polemik politik tidak berkesudahan...Kenapa kita kena turunkan (defisit)? Kalau tidak turunkan, hutang akan membengkak.
“Sebab itu defisit harus dikurangkan... Kita dah kurangkan daripada 5.6 peratus, lima peratus, empat peratus dan sekarang kita unjurkan 3.8 peratus, dan tahun berikutnya untuk terus menurun,” kata beliau semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata hutang keseluruhan bertambah kerana beban faedah hutang lama yang diwarisi, bukan kerana pinjaman baharu dan rekod jelas menunjukkan hutang baharu berkurang.
Menurut Anwar, kerajaan komited untuk terus menurunkan defisit fiskal secara berperingkat dengan sasaran mencapai paras tiga peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun akan datang, dan mencapai paras hutang tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK.
-- BERNAMA