BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Malaysia Pelawa JD.com Labur Dalam Gudang Pintar Di Selangor Aeropark

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Malaysia mempelawa platform e-dagang sehenti China, JD.com untuk melabur di Gudang Pintar Selangor Aeropark bagi mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab logistik serantau.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pelaburan sedemikian bakal meningkatkan kecekapan dan sokongan kepada produk Malaysia dan ASEAN untuk menembusi pasaran China.

Dalam sesi libat urus bersama JD.com, beliau menekankan hasrat Malaysia untuk membangunkan KLIA sebagai hab kargo udara utama bagi rantau ASEAN, selaras dengan strategi JD.com untuk memperluas rangkaian perdagangan mereka di seluruh ASEAN dan China.

"Ketika pertemuan dengan JD.com, saya menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, seperti yang digariskan dalam kenyataan bersama antara kedua-dua negara susulan lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lepas," kata Loke menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata kedua-dua pihak berkongsi matlamat untuk mewujudkan Laluan Sutera Udara yang lancar antara ASEAN dan China menerusi kerjasama menyeluruh dalam bidang penerbangan awam dan logistik.

Loke menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja empat hari ke Beijing, yang menyaksikan beberapa perbincangan strategik bersama pemimpin industri utama China bagi merancakkan pelaburan serta meneroka peluang kerjasama baharu.

JD.com, syarikat tersenarai dalam NASDAQ 100 dan Fortune Global 500, merupakan peruncit e-dagang terbesar di China, dengan lebih 580 juta pengguna di seluruh negara itu. Infrastruktur berasaskan teknologi yang dimiliki JD.com membolehkan 90 peratus pesanan dihantar dalam hari yang sama atau keesokan harinya.

-- BERNAMA