BERITA TERKINI   Pelakon Angeline Tan terima Anugerah Maulidur Rasul kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) 2025 | Usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Aming terima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025 | Maulidur Rasul: Pengerusi Lembaga Tabung Haji Abdul Rashid Hussain dianugerahkan Tokoh Perdana | Umat Islam diseru untuk terus mendoakan rakyat Palestin diberikan kesejahteraan dan keselamatan - Mohd Na'im | Kerjasama erat pihak berkuasa agama negeri akan diperkasa bagi pastikan program penghayatan Islam berkesan tangani isu sosial - Mohd Na'im | 

Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2025 Kekal Berdaya Tahan, Transaksi Cecah RM107.68 Bilion

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Pasaran harta tanah negara kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2025 dengan nilai transaksi mencecah RM 107.68 bilion.

Menurut Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), bilangan transaksi harta tanah merekodkan sebanyak 196,232 transaksi, penyusutan sebanyak 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama 2024.

Katanya, nilai transaksi meningkat sebanyak 1.9 peratus kepada RM107.68 bilion mencerminkan kekuatan pasaran yang berterusan walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pasaran harta tanah negara kekal berdaya tahan di bawah sokongan berterusan kerajaan melalui pelaksanaan Belanjawan 2025 yang menyediakan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sebagai jaminan kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama.

Beliau berkata, turut ditawarkan pelepasan cukai ke atas faedah pinjaman yang dibuat antara 1 Jan, 2025 hingga 31 Dis, 2025 bagi kediaman bernilai RM500,000 hingga RM750,000.

Selain itu, katanya, turut menyumbang kepada daya tahan pasaran hartanah negara daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus.

"Inisiatif ini dijangka meningkatkan kemampuan kewangan pembeli sekali gus merangsang permintaan pasaran harta tanah terutamanya harta tanah kediaman,” katanya ketika menyempurnakan Pelancaran Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 dan Sistem Property Information System Malaysia (PRISM 2.0) di Hotel Le Meridien di sini, hari ini.

Sementara itu, JPPH berkata, prestasi aktiviti pembinaan bagi harta tanah kediaman dan industri terus kukuh dengan menunjukkan pertumbuhan positif di semua peringkat pembinaan.Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) menunjukkan pertumbuhan tahunan 0.7 peratus berada pada paras 227.3 mata dengan harga purata rumah RM490,376 seunit.

JPPH turut memberitahu, segmen pelancaran baharu kediaman menunjukkan prestasi sederhana, menyusut kepada 23,380 unit dengan prestasi jualan 24.0 peratus yang mencerminkan sentimen berhati-hati dalam kalangan pemaju.

"Prestasi unit pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual bertambah baik pada separuh pertama 2025. Bilangan dan nilai unit siap dibina tidak terjual masing-masing berkurang 8.6 peratus dan 8.1 peratus, menyusut kepada 17,883 unit bernilai RM14.43 bilion, berbanding separuh kedua 2024.

"Sebaliknya, prestasi kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan momentum bertentangan. Unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan peningkatan kepada 26,911 unit bernilai RM16.44 bilion, naik 16.3 peratus dan 17.9 peratus dalam bilangan dan nilai berbanding tempoh sebelumnya,” katanya.

Prestasi penghunian kompleks perniagaan kekal stabil dengan kadar penghunian berada pada 78.7 peratus berbanding 78.8 peratus pada tempoh sebelumnya, begitu juga prestasi segmen pejabat binaan khas milik persendirian kekal stabil dengan kadar penghunian kekal 71.7 peratus sejak separuh kedua 2024. 

"Unjuran semula ekonomi negara bagi 2025 oleh Bank Negara Malaysia kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus, seiring dengan perkembangan sederhana pasaran harta tanah,” kata JPPH.

 

Unjuran bagi separuh kedua 2025

 

JPPH berkata, melangkah ke separuh kedua 2025, trajektori pertumbuhan pasaran harta tanah dijangka kekal optimistik dengan pendekatan berhati-hati selain mengambil kira cabaran ekonomi global, ketidaktentuan permintaan domestik dan risiko luaran yang sukar diramal. 

"Pelan pembangunan yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut memberi penekanan sektor harta tanah dengan sasaran membina sejuta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035. 

"Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik untuk menggalakkan pemilikan rumah sendiri terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Sokongan berterusan kerajaan melalui Program Residensi Rakyat (PRR), Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan pembangunan infrastruktur yang strategik, terus menjadi pemangkin kerancakan aktiviti pembinaan,” katanya.

Terdahulu, selaras dengan keperluan pengumpulan data yang komprehensif dan telus, JPPH mernerusi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) memperkenalkan PRISM 2.0sebuah ekosistem digital bersepadu yang mengaplikasikan teknologi membangun termasuk analitik data raya.

Sistem yang dibangunkan mulai 2023 ini menzahirkan penyampaian data dan maklumat yang cekap, cepat dan efisien selari dengan aspirasi ke arah Kerajaan Digital.

Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2025 dan semua penerbitan lain boleh dilayari melalui portal rasmi NAPIC di https://napic2.jpph.gov.my.

-- BERNAMA