Penganalisis Unjur BNM Kekalkan OPR 2.75 Peratus Bagi Tempoh Berbaki 2025

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi tempoh berbaki untuk 2025 dengan andaian ekonomi tumbuh dalam julat rasmi 4.0-4.8 peratus selain inflasi kekal terkawal.

RHB Investment Bank Bhd berkata walaupun berlaku cabaran luar, permintaan domestik Malaysia masih berdaya tahan, didorong oleh pasaran tenaga kerja yang mantap, sokongan dasar dan pelaburan infrastruktur yang berterusan serta inisiatif-inisiatif pembangunan.

“Bagi prospek 2026, kami menjangkakan dasar monetari kekal bergantung kepada data dengan hasil pula ditentukan oleh faktor seperti kesan dasar tarif terhadap prestasi perdagangan Malaysia selain momentum penggunaan domestik.

“Sehubungan itu, kami tidak melihat kemungkinan kadar OPR dikurangkan lagi pada 2026 berdasarkan perkembangan semasa, termasuk petunjuk ketegangan perdagangan serta tarif global yang mereda,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd juga senada dengan jangkaan BNM mengekalkan OPR bagi tempoh seterusnya tahun ini walaupun “2026 berkemungkinan mencabar memandangkan impak tertangguh tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi akan mencetuskan penjajaran dasar berkaitan.”

"Secara keseluruhannya, kenyataan terbaharu (BNM) lebih kepada nada ‘neutral.’ OPR misalnya pada paras terendah dalam tempoh 29 bulan yang kekal menyokong pertumbuhan domestik.

“(Kesan) kepada ekonomi sebenar masih berlaku. Bagi tempoh memasuki 2026, hala tuju dasar akan bergantung kepada sokongan dasar fiskal dan kerajaan Persekutuan dijangka membentangkan Belanjawan 2026 yang mengembang sedikit,” katanya.

Bank pelaburan itu turut mengingatkan bahawa risiko luaran mungkin menjadi faktor dominan, terutamanya berikutan ketidaktentuan dasar AS.

Pada masa sama, Malaysia terdedah kepada kesan limpahan jika pertikaian perdagangan Washington-Beijing meruncing atau jika Presiden AS Donald Trump bertindak menjadikan ekonomi atau negara-negara berkaitan BRICS sebagai sasarannya.

"Sekiranya permintaan domestik terjejas akibat sentimen yang lemah, BNM mempunyai ruang untuk melonggarkan lagi dasar sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Ekonomi Kanan ASEAN bagi OCBC Malaysia Lavanya Venkateswaran berkata bank itu masih melihat wujudnya ruang untuk BNM menurunkan 25 mata asas (bps) seterusnya bagi OPR.

“Bagaimanapun, tempoh sebenar penurunan itu sukar dipastikan memandangkan BNM perlu mengambil kira faktor seperti data-data kurang menarik yang konsisten untuk melonggarkan lagi dasar sedia ada.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan data bagi Ogos akan memaparkan beberapa kelemahan dan akan memantau data-data akan datang.

“Ini termasuk angka perdagangan bagi Ogos dan September, pengeluaran perindustrian untuk Ogos serta perdagangan borong dan runcit selain anggaran awal KDNK untuk suku ketiga bagi menilai langkah BNM seterusnya dalam mesyuarat pada 6 November,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata pengumuman Belanjawan 2026 yang dijadualkan pada 10 Okt, 2025, akan turut menjadi faktor utama bagi menentukan unjuran OPR berkenaan.

-- BERNAMA