BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Insentif Fiskal, Kawal Selia Kukuh CCUS Tingkat Daya Tarikan Pelaburan Malaysia - BMI

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) --Rangka kerja kawal selia Malaysia yang kukuh dan insentif fiskal bagi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) meningkatkan daya tarikan bagi pelaburan jangka pendek dan pembangunan projek di negara ini.

BMI, unit Fitch Solutions, berkata Akta CCUS 2025 Malaysia menyediakan liputan menyeluruh bagi rantaian nilai penuh, menggariskan peruntukan jelas bagi import karbon dioksida (CO2) rentas sempadan, menubuhkan badan kawal selia pusat (MyCCUS) dan menyelaraskan proses kelulusan.

Selain itu, rejim fiskal negara merangkumi 100 peratus elaun cukai pelaburan selama 10 tahun, pengecualian duti dan potongan cukai yang jelas, menyokong daya maju projek awal.

"Kami percaya Malaysia mempunyai kelebihan jangka pendek disokong oleh rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif dan mesra pelabur," katanya dalam satu nota pada Khamis.

Di peringkat serantau, BMI berkata Malaysia dan Indonesia sedang mempercepatkan penggunaan teknologi CCUS.

“Strategi Malaysia untuk memfokuskan pada penyimpanan khusus, disokong oleh peruntukan undang-undang yang jelas untuk import CO2 rentas sempadan dan insentif fiskal yang kukuh, seiring dengan standard antarabangsa dan jangkaan pasaran terhadap ketelusan dan kestabilan,” katanya.

BMI menjangka Malaysia dan Indonesia akan mula mengukur kapasiti CCUS menggunakan teknologi digital bermula 2027, dengan CO2 yang diperangkap dijangka mencecah 3.3 hingga 4.2 juta tan metrik setahun (Mtpa) menjelang 2034.

-- BERNAMA