BERITA TERKINI   Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | Krisis tenaga global: KTMB tawar diskaun 30 peratus tiket ETS bagi semua sektor dan tren Ekspres Rakyat Timuran laluan JB Sentral–Tumpat–JB Sentral -- Loke   | 

Sektor Pembinaan Malaysia Dijangka Berkembang 9.6 Peratus Pada 2025 - BMI

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) - Industri pembinaan Malaysia dijangka berkembang 9.6 peratus tahun ke tahun pada 2025, dipacu oleh sektor bangunan, kata BMI, anak syarikat Fitch Solutions.

Sementara itu, pertumbuhan pembinaan infrastruktur jangka panjang akan dirangsang oleh pelaburan tenaga dan utiliti, dengan integrasi serantau memacu pembangunan infrastruktur pengangkutan, kata syarikat itu dalam satu nota pada Khamis.

BMI berkata bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman dijangka berkembang masing-masing pada 15.7 peratus dan 10.3 peratus tahun ini.

“Tinjauan positif terhadap pembinaan bangunan kediaman disokong oleh pelaburan berterusan sektor swasta dalam projek mewah dan berskala besar, di samping inisiatif berterusan kerajaan yang menyasarkan rumah mampu milik.

“Pada masa yang sama, pertumbuhan kukuh pembinaan bangunan bukan kediaman disokong oleh pelaburan besar dalam pusat data dan projek pembuatan semikonduktor, dirangsang oleh peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan kepakaran negara dalam pembuatan teknologi,” katanya.

Sementara itu, subsektor tenaga dan utiliti diunjur berkembang 6.5 peratus pada 2025, berbanding unjuran pertumbuhan industri infrastruktur lebih meluas sebanyak 4.2 peratus.

BMI berkata loji janakuasa dan grid penghantaran terus menjadi penyumbang terbesar daripada nilai industri dalam sektor pembinaan tenaga dan utiliti Malaysia dan disasar menjadi pemacu pertumbuhan utama dalam dekad akan datang.

Pada masa yang sama, pertumbuhan dalam sektor pengangkutan sebahagian besarnya akan disokong oleh komitmen kerajaan Malaysia untuk mengutamakan kesalinghubungan yang lebih baik di kawasan kurang membangun, khususnya di Sabah dan Sarawak.

BMI mengunjurkan sektor pembinaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.1 peratus antara 2025 dan 2034, dengan pertumbuhan jangka panjang didorong terutamanya oleh peralihan tenaga dan pelaburan industri Malaysia.

-- BERNAMA