Ekonomi Kekal Kukuh Tatkala OPR Tidak Berubah Pada 2.75 Peratus
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Berikut adalah transkrip wawancara Bernama menerusi e-mel dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
1. Bolehkah Gabenor terangkan kepada kami mengenai keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) berhubung dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 4 Sept, 2025?
MPC telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat 4 Sept, 2025. Pada tahap OPR semasa ini, pendirian dasar monetari adalah wajar dan menyokong ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
Kami menjangkakan langkah awalan pengurangan OPR pada Julai lalu akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan untuk baki tahun 2025 sehingga 2026.
MPC akan terus memantau perkembangan global, terutama ang berkaitan dengan perdagangan dan geopolitik, dan pada masa yang sama menilai imbangan risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi negara.
2. Beberapa perkembangan utama telah berlaku sejak mesyuarat MPC pada Julai termasuk keputusan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia. Apakah penilaian terkini MPC bagi pertumbuhan dalam negara?
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama 2025 dan berada pada landasan untuk berkembang dalam julat unjuran kami, iaitu 4.0 hingga 4.8 peratus pada 2025. Menjelang 2026, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan.
Pertumbuhan pekerjaan dan upah yang stabil, serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan seperti kenaikan gaji penjawat awam dan gaji minimum yang lebih tinggi, dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Langkah-langkah terkini yang diumumkan oleh kerajaan juga akan menggalakkan lagi penggunaan dalam negara.
Aktiviti pelaburan yang dapat kita perhatikan terus berkembang juga akan menyokong pertumbuhan pada masa hadapan. Meskipun keadaan global ketara tidak menentu, Malaysia mempunyai pelbagai pelaburan yang telah dirancang rapi. Malah, angka kelulusan terbaharu oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan momentum pelaburan yang berterusan, dengan kelulusan pada separuh pertama 2025 mencatatkan peningkatan sebanyak 18.7 peratus dari tahun ke tahun.
Selain itu, projek awam berbilang tahun yang terus dilaksanakan bersama-sama dengan lebih banyak pelaksanaan pelaburan swasta yang telah diluluskan akan membantu meningkatkan prospek ekonomi negara pada masa hadapan. Semua faktor ini akan membantu melindungi negara daripada kejutan luaran.
Kadar tarif yang diumumkan iaitu sebanyak 19 peratus, yang rendah sedikit berbanding dengan angka yang diumumkan sebelum ini, kini memberikan gambaran yang lebih jelas lantas membolehkan perniagaan membuat perancangan yang lebih baik untuk masa hadapan. Dalam keadaan pertumbuhan eksport yang semakin sederhana dan ketidakpastian berkaitan tarif sektoral, kami menjangkakan permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia akan berterusan, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan serta peluang baharu dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang meluas. Jumlah ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 juga dijangka dapat mengimbangi eksport negara.
Bagaimanapun, prospek keseluruhan tertakluk pada ketidaktentuan khususnya berhubung dengan ekonomi global. Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan berpunca daripada pertumbuhan perdagangan yang lebih perlahan, sentimen yang lebih lemah serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan. Namun begitu, keputusan yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan AS yang masih berlangsung, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju, permintaan berterusan terhadap barangan E&E dan aktiviti pelancongan yang kukuh berupaya meningkatkan prospek eksport dan pertumbuhan Malaysia.
3. Apakah tinjauan MPC mengenai inflasi, memandangkan perubahan dasar dalam negara baru-baru ini?
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana, masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan 1.9 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2025.
Inflasi keseluruhan yang sederhana ini sebahagian besarnya didorong oleh penurunan harga yang selanjutnya bagi barangan bukan teras, terutama makanan segar dan bahan api. Sebagai contoh, harga sayur-sayuran segar dan telur telah turun sejak suku pertama tahun ini. Baru-baru ini, harga bahan api seperti RON97 dan diesel juga menurun, berikutan harga komoditi global yang lebih rendah.
Memandang ke hadapan, kami menjangkakan trend penurunan harga komoditi global ini akan terus menyumbang kepada keadaan kos dalam negara yang sederhana. Oleh itu, inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana untuk baki tahun 2025 sehingga 2026.
Selaras dengan prospek pertumbuhan, permintaan dalam negara akan terus menyokong ekonomi tanpa menghasilkan tekanan inflasi yang berlebihan. Oleh itu, inflasi teras dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya. Trend ini juga dijangka berterusan sehingga 2026.
Dalam persekitaran ini, kami menjangkakan kesan keseluruhan daripada pembaharuan dasar dalam negara yang telah dan akan diumumkan berhubung dengan inflasi, seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan semakan tarif elektrik, akan kekal terkawal. Hal ini akan disokong selanjutnya oleh reka bentuk langkah yang disasarkan yang akan mengurangkan kesan ke atas kebanyakan isi rumah.
4. Angka rasmi inflasi adalah rendah namun kos sara hidup masih menjadi isu yang membimbangkan rakyat Malaysia. Bolehkah Gabenor berkongsi pandangan mengenai perkara ini?
Terima kasih kerana bertanyakan soalan ini. Tekanan kos sara hidup sememangnya nyata dan dirasai oleh banyak rakyat Malaysia. Isu ini terus menjadi tumpuan utama dalam pertimbangan dasar kami yang lebih luas.
Kedua-dua angka inflasi rasmi kami, iaitu inflasi keseluruhan dan inflasi teras, adalah berdasarkan indeks harga pengguna (IHP) yang merekodkan purata berwajaran harga barangan dan perkhidmatan yang lazim digunakan oleh rakyat Malaysia. Perubahan dalam IHP mencerminkan perubahan dalam kos keseluruhan kumpulan barangan dan perkhidmatan ini dari semasa ke semasa, lantas menunjukkan bagaimana harga naik atau turun untuk isi rumah. IHP dibangunkan sebagai penanda aras umum untuk membolehkan pembuat dasar memahami trend harga secara keseluruhan.
Bagaimanapun, corak perbelanjaan individu pastinya berbeza. Hal ini boleh mempengaruhi bagaimana segmen rakyat Malaysia yang berbeza menghadapi inflasi. Satu contoh yang jelas ialah makanan, iaitu satu komponen utama dalam kumpulan penggunaan isi rumah. Harga makanan boleh berbeza disebabkan oleh faktor seperti lokasi, tabiat pemakanan, pilihan produk dan akses kepada penjual. Di pusat bandar yang besar, harga makanan biasanya lebih tinggi kerana kos operasi yang lebih tinggi serta faktor permintaan yang membolehkan peniaga mengenakan caj yang lebih tinggi. Kesannya, isi rumah di bandar sering mengalami tekanan kos berkaitan makanan lebih daripada mereka yang di luar bandar.
Meskipun inflasi IHP lazimnya diukur mengikut perubahan paras harga, dari tahun ke tahun, IHP merekodkan perubahan harga berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya dan bukannya peningkatan kumulatif untuk beberapa tahun. Oleh itu, walaupun inflasi adalah sederhana pada tahun ini, paras harga mungkin masih lagi tinggi disebabkan oleh kenaikan sebelum ini.
Sebaliknya, kos sara hidup bergantung pada setinggi mana paras harga keseluruhan relatif kepada pendapatan. Apabila harga terus naik mengikut peredaran masa, orang ramai biasanya hanya mengingati kenaikan yang lebih besar pada tahun-tahun sebelumnya. Jika pendapatan tidak meningkat seiring dengan kenaikan harga, isi rumah semakin sukar untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan yang sama.
Inilah sebabnya inflasi hanya merupakan sebahagian daripada isu kos sara hidup. Selain mengekalkan inflasi yang rendah, pertumbuhan gaji yang berterusan memainkan peranan penting untuk meringankan tekanan kos sara hidup. Kos sara hidup ialah jumlah perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk mengekalkan taraf hidup tertentu. Apabila pendapatan meningkat secara stabil dan berterusan, isi rumah berupaya untuk menguruskan kesan kenaikan harga dengan lebih baik. Hal ini perlu menjadi salah satu hasil teras bagi matlamat pembangunan negara serta menekankan kepentingan pembaharuan struktur di Malaysia.
Yang penting, apa yang negara perlukan ialah peningkatan kualiti, dan justeru, pekerjaan yang bergaji tinggi. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu terus menarik pelaburan berkualiti.
Inilah sebabnya langkah-langkah untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), perlu dilaksanakan secara berkesan bagi mengembangkan keupayaan produktif Malaysia, iaitu output maksimum yang boleh dikeluarkan oleh sesebuah negara dengan sumber yang ada. Seiring dengan hal ini, kita juga perlu memanfaatkan AI dan pendigitalan untuk memacu peningkatan produktiviti, iaitu cara sumber tersebut digunakan secara cekap. Malah, lebih 30,000 pekerjaan berkemahiran telah diwujudkan pada 2024 (25.4 peratus daripada jumlah pekerjaan yang diwujudkan pada tahun tersebut). Keadaan ini merupakan permulaan yang baik, namun masih banyak lagi yang perlu kita lakukan dan perlu dicapai.
5. Bolehkah kami menjangkakan lebih banyak pengurangan kadar faedah untuk baki tahun 2025?
Kami faham bahawa ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini. Izinkan saya untuk menjelaskannya. Pengurangan OPR pada Julai sudah pun merupakan langkah awal untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan Malaysia yang stabil dalam keadaan ketidaktentuan faktor luaran.
Pada tahap semasa, MPC berpendapat bahawa OPR adalah wajar dan menyokong ekonomi dalam keadaan harga yang stabil. Tumpuan MPC pada masa ini adalah untuk menilai kesan pengurangan OPR terhadap kegiatan ekonomi, yang kami jangka memberikan rangsangan tambahan untuk baki tahun 2025 dan menjelang 2026. Secara keseluruhan, pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan dalam negara yang berdaya tahan. Pada masa hadapan, MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negara.
-- BERNAMA