Ringgit Ditutup Mengukuh Berbanding Mata Wang Utama Kecuali Dolar
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga pada Isnin dengan mengukuh berbanding mata wang utama, kecuali dolar Amerika Syarikat (AS), di tengah-tengah jangkaan pengukuhan dolar akan mendorong dasar monetari lebih ketat sekali gus menyuntik permintaan terhadapnya.
Pada 6 petang, ringgit susut berbanding dolar AS pada paras 3.9320/9360 daripada 3.9220/9260 semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data Indeks Harga Pengguna AS malam ini akan dipantau rapat oleh pasaran dengan jangkaan awal inflasi keseluruhan pada 3.7 peratus bagi April daripada 3.3 peratus dalam bulan sebelumnya.
“Jika itu terbukti tepat, Rizab Persekutuan AS berkemungkinan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat dan hanya memberi sokongan terhadap dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata Fed berkemungkinan mengekalkan kadar faedah utama ketika jangkaan penurunan kadar berkenaan pada tahun ini semakin suram.
Beliau berkata ringgit juga dijangka kekal diniagakan mendatar dalam masa terdekat apabila risiko geopolitik terus meruncing selain pertemuan penting Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijadualkan pada 14-15 Mei, 2026.
Pada penutup urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dunia.
Ini termasuk naik berbanding yen Jepun kepada 2.4952/4979 daripada 2.4955/4983 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3231/3286 daripada 5.3331/3383 namun susut berbanding euro kepada 4.6189/6236 daripada 4.6150/6197, semalam.
Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Berbanding rupiah Indonesia, ringgit naik kepada 224.3/224.6 daripada 225.2/225.5 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.39/6.41 daripada 6.41/6.42 sebelum ini.
Namun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0888/3.0922 daripada 3.0887/3.0921 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1276/12.1455 daripada 12.0900/12.1083.
-- BERNAMA