Landskap Digital Malaysia Terus Berkembang Di Tengah-tengah Ketidaktentuan Global - Gobind
SUBANG JAYA, 12 Mei (Bernama) -- Landskap digital Malaysia terus berkembang dengan penuh keyakinan dan optimisme di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau menyatakan landskap digital global sedang berubah dengan pantas ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat dan industri yang sedang dibentuk semula dengan lebih cepat berbanding sebelum ini.
"Malaysia kini menjadi tempat teknologi dibangunkan, kerjasama diwujudkan dan idea diubah menjadi peluang yang nyata.
"Perubahan digital hari ini bukan lagi sekadar mendigitalkan perkhidmatan atau meningkatkan ketersambungan. Ia sama ada sesebuah negara itu mampu membina, mengguna pakai dan mentadbir teknologi yang bakal mencorak masa depan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya di FutureX Venture Fest 2026 di sini hari ini.
FutureX Venture Fest yang dianjurkan oleh Sunway iLabs menghimpunkan 200 pemimpin terpilih daripada syarikat pemula niaga, pelabur, kerajaan dan korporat untuk meneroka masa depan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mendalam (deep tech) di Asia Tenggara.
Program berkenaan turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau.
Dalam pada itu Gobind berkata Malaysia kekal komited sepenuhnya terhadap impian untuk menjadi sebuah negara AI menjelang 2030.
"Ini merupakan satu komitmen untuk memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi turut membantu membina, mencorak dan menerajuinya.
"Pada masa yang sama, kita sedang memacu Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 sebagai satu usaha nasional yang nyata untuk membina bakat, memperkukuh infrastruktur, merangsang inovasi dan mewujudkan peluang bagi rakyat Malaysia," kata beliau.
Gobind berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik di pusat ASEAN iaitu antara rantau digital yang paling pesat berkembang di dunia dengan menawarkan akses kepada pasaran melebihi 680 juta orang.
"Malaysia berada pada kedudukan yang baik di pusat rantau ini (ASEAN) dan bersedia untuk menghubungkan inovasi global dengan gelombang pertumbuhan Asia Tenggara yang seterusnya," tambah beliau.
-- BERNAMA