US Pizza Sasar Miliki 200 Cawangan Menjelang Akhir 2026
SHAH ALAM, 9 Sept (Bernama) -- Rangkaian pizza halal tempatan terbesar Malaysia, US Pizza, menyasarkan memiliki 200 cawangan pada 2026 susulan pertumbuhan positif perniagaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan US Pizza Deric Yeo berkata syarikat itu kini mengendalikan hampir 100 cawangan di Malaysia, Singapura dan Indonesia dengan 70 daripadanya beroperasi di pasaran tempatan.
“Tahun ini sahaja, kami sudah membuka 15 cawangan baharu termasuk di Eco Grandeur. Kami menyasar untuk menambah 15 lagi cawangan sebelum hujung tahun,” katanya ketika ditemui semasa pembukaan cawangan baharu US Pizza di Eco Grandeur, Bandar Puncak Alam di sini hari ini.
Beliau berkata syarikat turut merancang untuk menembusi pasaran Filipina serta beberapa negara Asia Tenggara lain tahun hadapan, selaras dengan perancangan jangka panjang untuk mencapai 200 cawangan pada 2026.
Yeo berkata US Pizza mencatatkan hasil jualan sekitar RM30 juta pada tahun lalu dan menjangkakan jumlah itu boleh mencapai sehingga RM50 juta pada akhir tahun ini, dibantu pertambahan cawangan atau pembukaan kios baharu.
Beliau berkata sebahagian daripada hasil jualan disalurkan semula ke dalam penyelidikan dan pembangunan khususnya dalam aspek reka bentuk cawangan dan peningkatan kualiti produk.
“Sejak 1997, kami lalui pelbagai fasa dalam perniagaan. Namun beberapa tahun kebelakangan ini, momentum pertumbuhan kami semakin kukuh - faktor utama ialah kualiti produk dan penekanan kepada citarasa tempatan.
“Ramai pelanggan bertanya, US Pizza sama atau tidak dengan jenama piza lain? Jawapan kami tidak. Kami tampilkan piza yang lebih dekat dengan selera rakyat Malaysia,” kata Yeo.
Yeo berkata sebahagian besar daripada 70 cawangan US Pizza di negara ini beroperasi secara francais dengan kos pelaburan bagi sebuah cawangan dianggarkan antara RM550,000 hingga RM700,000.
Beliau berkata permintaan untuk francais terus meningkat sejajar dengan kekuatan jenama dan asas pelanggan yang semakin berkembang, terutama di kawasan bandar.
Terdahulu, pada majlis sama US Pizza menandatangani perjanjian kerjasama strategik dengan RHB Bank melancarkan promosi MySiswa - satu insiatif baharu menjadikan produk itu lebih mampu milik kepada golongan mahasiswa.
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani oleh Yeo bagi pihak US Pizza, manakala RHB Bank diwakili Ketua Strategi dan Perkhidmatan Perbadanan RHB Islamic Bank Roshan Jaffar.
Menerusi MySiswa, pelajar boleh menikmati promosi "Beli 1, Percuma 2" bagi pembelian piza di semua cawangan US Pizza seluruh negara dengan hanya menunjukkan kad pelajar atau kad matrik yang sah untuk menebus tawaran tersebut, sam ada untuk makan di restoran atau dibawa pulang.
-- BERNAMA