BERITA TERKINI   Sistem Penilaian Prestasi Demerit diperluas kepada semua ketua perkhidmatan, ketua jabatan mulai tahun hadapan - KSN | Poster memaparkan tarikh-tarikh penting PRN Sabah ke-17 yang kini tular di media sosial adalah palsu -  Setiausaha SPR  | ASEAN secara relatif kekal rantau paling aman, kestabilan pulih di Thailand dan Indonesia, serta keyakinan pelabur terus kukuh - PM Anwar | Malaysia zahir kesediaan hubungi pemimpin Islam OIC berhubung serangan Israel ke atas Qatar - PM Anwar | Kerajaan akan beri keutamaan kepada usaha lahir bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi terkini menerusi Belanjawan 2026 - PM Anwar | 

Sarawak Tingkat Kapasiti Tenaga Solar Melalui Projek Terapung Dan Atas Tanah

KUCHING, 9 Sept (Bernama) -- Sarawak menyasarkan untuk memperkasa kapasiti solar negeri ini melalui pemasangan sistem solar terapung dan di tanah sebagai sebahagian daripada usaha memajukan pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata tiga lokasi iaitu Empangan Murum, Bakun dan Padawan telah dikenal pasti untuk kajian kebolehlaksanaan bagi menilai kesesuaian tapak tersebut untuk projek tenaga solar.

“Kajian ini dijangka siap menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam ucaptama pada International Forum on Pumped Storage Hydropower 2025 di Paris, Perancis, hari ini.

Teks ucaptama beliau diedar kepada media di sini.

Abang Johari berkata Sarawak juga sedang menjalankan kajian mengenai pembangunan hidro aliran sungai bertingkat (cascading run-of-river hydro) di beberapa kawasa lembangan sungai di negeri ini.

“Penilaian awal telah mengenal pasti beberapa tapak dengan potensi penjanaan hidro sehingga 3 gigawatt, menandakan peluang baharu untuk memanfaatkan sumber semula jadi negeri secara lestari dan bersepadu,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata tenaga hidro kekal sebagai tunjang dalam campuran penjanaan tenaga Sarawak, menyediakan kestabilan yang membolehkan integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui lain seperti solar terapung, serta pembangunan solusi tenaga hijau baru termasuk hidrogen dan biojisim.

“Ladang solar terapung 50MW di Batang Ai Hydroelectric Plant dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri 60MW Sejingkat adalah contoh perintis penyelesaian tenaga hibrid dan bersepadu.

“Projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan grid tetapi juga menunjukkan kebolehlaksanaan gabungan teknologi hidro dan solar,” tambah beliau.

-- BERNAMA