BERITA TERKINI   Piala Malaysia: PDRM FC 1-0 Negeri Sembilan FC (Agregat 1-5) | Kerajaan Persekutuan akan terus buka ruang perbincangan secara harmoni dan saling hormat bersama Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah - PM Anwar | PM Anwar rakam penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah atas kerjasama erat zahir MA63 secara adil | Kerajaan MADANI paling giat, banyak selesaikan perkara berhubung MA63 hasil kesungguhan, muafakat semua pihak - PM Anwar | 

KLK TechPark Bakal Jana 20,000 Pekerjaan, GDV RM3.5 Bilion

IPOH, 12 Sept (Bernama) -- Projek hab perindustrian bersepadu Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) TechPark di Tanjong Malim dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.5 bilion dijangka mewujudkan kira-kira 20,000 peluang pekerjaan meliputi pelbagai peringkat kemahiran.

Pengerusi Eksekutif KLK Tan Sri Lee Oi Hian berkata projek di tanah seluas 607 hektar itu merangkumi pembangunan industri yang akan dibangunkan secara berfasa untuk tempoh 10 tahun akan datang bermula tahun ini.

“Fasa pertama menyaksikan BYD (pengeluar automotif) sebagai pelabur utama dengan kerja-kerja infrastruktur utama disasarkan siap pada akhir 2026 manakala Fasa 2 akan menampilkan taman vendor khusus untuk pemain sektor automotif dan pembuatan.

“Dengan kedudukan strategik berhampiran Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), KLK TechPark menawarkan lot perindustrian dan kilang siap bina yang disokong oleh infrastruktur asas yang menyeluruh,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pembangunan tanah perindustrian KLK TechPark yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Sementara itu, Saarani pada sidang media sama berkata pembangunan KLK TechPark menyokong aspirasi AHTV untuk menjadikan Tanjong Malim sebagai hab global untuk sektor automotif dan berteknologi maju.

“Ia berteraskan kenderaan tenaga baharu dengan disokong oleh ekosistem yang menyeluruh meliputi pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), rantaian bekalan dan pembangunan bakat. 

“Saya percaya akan ada lagi projek-projek pembangunan dilaksanakan di Tanjong Malim selepas ini.  Antaranya kita sedang mengusahakan penubuhan Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) di Sungkai yang akan menggamit pelbagai lagi pelaburan di kawasan tersebut,” katanya.

-- BERNAMA