Pasaran Getah Ditutup Rendah
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah hari ini selepas diseret oleh sentimen yang lebih lemah dalam niaga hadapan depan getah serantau di tengah-tengah ketegangan geopolitik serta ketidakpastian yang berterusan terhadap keputusan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.
Sentimen pasaran terus ditekan dengan kejatuhan harga minyak mentah.
"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya telah dihadkan oleh prestasi ekonomi China dan AS yang agak menggalakkan," kata peniaga itu kepada Bernama.
Beliau juga menjelaskan bahawa niaga hadapan getah Jepun susut pada hari Jumaat memandangkan kos bahan mentah yang tinggi dan penurunan harga getah yang diproses telah menyempirkan margin pengeluar.
Sementara itu, harga minyak menurun hari ini, menyambung penurunan dari sesi sebelumnya berikutan kebimbangan mengenai potensi permintaan AS yang lebih lembap selain lambakan bekalan telah mengimbangi kebimbangan mengenai gangguan bekalan dari konflik di Timur Tengah dan Ukraine.
Setakat 3 petang tadi, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga getah SMR 20 susut sebanyak satu sen kepada 737.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurangan sebanyak 0.5 sen kepada 575.5 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada 15 hingga 16 Sept, 2025 (Isnin dan Selasa) bersempena dengan cuti umum Hari Malaysia, ia akan dibuka semula pada 17 Sept 2025.
-- BERNAMA