Pernah Corot Akademik, Ivan Khong Kini Usahawan e-Dagang Berjaya
Oleh Naveen Prabu Kuppusamy
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pengalaman sebagai pelajar lemah terbukti bukan penghalang Pengasas SCE Distributor Sdn Bhd Ivan Khong untuk bertatih membina kerjaya dalam penjualan komputer terpakai dan jualan langsung dalam talian.
Bersandarkan kegigihan itu, beliau yang dikenali dengan gelaran “Boss A” turut berjaya meraih pengiktirafan sebagai satu-satunya penjual komputer terpakai yang memperoleh status “mall” atau gedung di platform beli-belah dalam talian.
Berkongsi kisah kejayaannya, Khong, 29, berkata perjalanan hidupnya adalah gabungan kejayaan serta kegagalan, termasuk pernah mengalami kerugian RM1 juta pada usia 24 tahun ketika lonjakan jualan komputer sewaktu pandemik COVID-19.
“Benar, saya rugi RM1 juta, tetapi saya tidak mengalah. Bagi saya, kegagalan itu hanyalah satu catatan pengalaman,” katanya kepada Bernama.
Menerusi latar belakang didikan dalam keluarga serba sederhana, Khong turut mengimbau pengalaman sukar selain tidak mampu untuk memiliki sebuah komputer riba sewaktu bergelar pelajar.
Sebaliknya, beliau bergantung kepada unit-unit komputer riba terpakai dan secara beransur-ansur menimba kemahiran membaik pulih, mempelajari cara menyelesaikan masalah serta melakukan format sistem operasi pada usia seawal 12 tahun.
Memilih untuk tidak meneruskan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Khong menceburi kerjaya sebagai juruteknik di pusat servis ASUS (jenama komputer) yang menjadi lubuk pendedahan awalnya dalam bidang baik pulih teknikal serta khidmat pelanggan dengan gaji bulanan RM1,500.
Bertitik tolak dari situ membuka jalan untuknya menjual komputer terpakai serta “refurbished” atau diperbaharui semula menerusi platform dalam talian seperti Mudah.my.
Susulan itu, beliau memutuskan untuk memberi tumpuan penuh kepada segmen komputer diperbaharui yang dilihat mencatat permintaan dan margin lebih kukuh.
Permintaan itu melonjak ketika pandemik COVID-19 dan seawal usia 24 tahun, Khong mencatatkan jualan sehingga RM1 juta.
Malangnya, tindakannya membuat keputusan kewangan yang salah menyebabkan beliau kehilangan semuanya -- rugi, namun pada masa sama enggan mengalah.
Episod duka itu menjadi penguat semangatnya untuk kembali berniaga pada 2022 yang menyaksikan Khong dan isteri mula menjual komputer diperbaharui ini menerusi media sosial TikTok Shop.
SCE Distributor ternyata menonjol dengan lebih mengutamakan jenama serta jaminan pelanggan.
“Komputer riba kami mungkin mahal sedikit berbanding lain, namun kami memberi jaminan dari segi kualiti. Setiap unit turut disertakan dengan laporan Pemeriksaan Kualiti (QC) daripada juruteknik dan andai ada masalah, kami akan lakukan proses pengesanan bagi menyelesaikannya,” kata Khong.
Tumpuan terhadap aspek kebertanggungjawaban ini serta pembungkusan, membantu SCE Distributor menjadi satu-satunya penjual komputer Malaysia diberi status “TikTok Mall” -- pengiktirafan kepada jenama yang diperakui serta dipercayai di platform berkenaan.
Kepuasannya tidak terhenti di situ, sebaliknya Khong melihat kejayaannya melangkaui perniagaan dan komited berbakti atau mengembalikannya kepada komuniti.
Atas alasan itu, syarikatnya menyumbangkan lebih daripada 100 unit komputer kepada sekolah dan pelajar kurang berkemampuan.
Khong turut melancarkan program “4 Kasih” -- Cintai atau Kasihkan Diri, Kasih Keluarga, Kasih Sekolah dan Kasih Negara yang disifatkannya sebagai panduan dalam mengemudi kehidupan peribadi serta profesional.
“Jika anda tidak sayangkan diri sendiri, bagaimana anda dapat menjaga kesihatan, ilmu pengetahuan atau menyayangi keluarga? Tanpa sekolah, siapalah kita pada hari ini? Sudah pasti, tanpa negara, kita juga tiada apa-apa. Inilah prinsip saya,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga berharap kisah perjalanan hidupnya dapat memberi galakan kepada golongan muda untuk berani mengharungi cabaran sama ada di sekolah atau perniagaan tanpa menyerah kalah.
Baginya, semangat daya tahan dan kemampuan untuk bertahan adalah teras penting.
“Kita semua pasti ada semangat dalam diri. Kata kuncinya adalah jangan takut gagal. Jika anda ada impian, kejarlah dan usahalah untuk menjadikannya satu realiti,” katanya.
-- BERNAMA