Timor-Leste Sasar Erat Perdagangan Dengan Malaysia, Fokuskan Pertanian, Pelancongan
Daripada V. Sankara
DILI (TIMOR-LESTE), 18 Sept (Bernama) -- Timor-Leste berhasrat untuk memperluas perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia, dengan memfokuskan kepada keterjaminan makanan, pertanian dan pelancongan berikutan usahanya dalam mengukuhkan kerjasama melalui integrasi ASEAN.
Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Timor-Leste Sidonio Trindade de Costa Freitas yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal ASEAN dan WTO berkata permintaan ke atas barangan pengguna dari Malaysia semakin meningkat terutama telur dan ayam yang sebelum ini diimport dari Brazil.
Beliau berkata kesalinghubungan penerbangan baharu antara Kuala Lumpur dan Dili yang dikendalikan oleh Batik Air telah membuka peluang kepada perdagangan dan memperkukuh hubungan antara rakyat.
“Hampir setiap hujung minggu, kami menyaksikan ketibaan pengunjung dari Malaysia untuk meneroka peluang di sini,” katanya kepada Bernama dalam wawancara yang dihoskan oleh Ketua Program Bernama TV Gerard Ratnam.
Freitas turut menekankan sektor pelancongan sebagai sektor baharu yang sedang berkembang, sambil memaklumkan pelabur dari Malaysia sedang meninjau peluang kemudahan menyelam di Pulau Atauro, kira-kira 25 kilometer ke utara Dili, yang terkenal dengan terumbu karang dan kepelbagaian biodiversiti marin.
“Beberapa wakil Malaysia telah hadir untuk memulakan usaha sama dengan pengusaha selam tempatan,” katanya.
Mengenai pertanian, beliau berkata dewan perniagaan itu sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk memodenkan amalan pertanian tradisional dengan membekalkan benih, baja dan sokongan teknikal.
Antara tanaman utama adalah padi, jagung, ubi kayu, kacang hijau, vanila dan kopi, yang menyaksikan pelbagai usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan pengeluaran dan menyokong pekebun kecil.
Beliau berkata kopi kekal sebagai jenama utama antarabangsa Timor-Leste, bagaimanapun cabaran seperti perubahan iklim, keperluan kepada penghutanan semula dan kekangan dari segi kapasiti memerlukan penglibatan yang lebih besar daripada sektor swasta.
Kerajaan juga sedang berusaha untuk mendapatkan pensijilan organik untuk memberi kelebihan kepada produk Timor-Leste di pasaran eksport.
Menurut Freitas PKS Malaysia dilihat semakin berminat untuk meneroka pasaran Timor-Leste namun masih mengekalkan pendekatan berhati-hati untuk melangkah ke pasaran baharu itu.
"Kami memerlukan dialog berterusan untuk membina keyakinan dan menyediakan dasar yang bersesuaian termasuk pensijilan dan pengiktirafan asal produk," katanya.
Selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam mempercepat usaha keanggotaan penuh Timor-Leste dalam blok serantau itu.
"Kami amat menghargai peranan aktif Malaysia dalam membantu kami menyelaraskan dasar negara dan memperkukuh integrasi ke dalam ASEAN. Usaha ini membuka peluang kepada produk kami seperti kopi organik, beras, vanila dan moringa memasuki pasaran serantau secara lebih meluas," kata Freitas.
Beliau pada masa sama juga menekankan sektor perikanan negara itu yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, meskipun Timor-Leste memiliki kawasan perairan yang luas.
Justeru itu, kerjasama dengan negara-negara ASEAN mampu membantu membangunkan sektor berkenaan, katanya.
Timor-Leste, merupakan negara termuda di Asia Tenggara, mempunyai populasi hampir 1.4 juta orang dan keluasan tanah sekitar 14,870 kilometer persegi, hampir menyamai Kelantan.
Dengan nilai ekonomi dianggarkan US$2 bilion, negara ini masih bergantung kepada hasil minyak dan gas, selain kopi serta kiriman wang daripada diaspora Timor-Leste di luar negara.
Timor-Leste mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai ASEAN pada 2011, dan permohonan itu dipersetujui pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-46 serta menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung Oktober ini di Kuala Lumpur.
Nilai dagangan dua hala Malaysia-Timor-Leste pada 2024 berjumlah US$18.72 juta (RM85.68 juta), yang terdiri daripada eksport Malaysia berjumlah US$18.37 juta (RM84.06 juta) dan import dari Timor-Leste berjumlah US$0.35 juta (RM1.62 juta).
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang kini dalam misi liputan selama lapan hari di Timor-Leste diketuai oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Mohd Shukri Ishak, merupakan media rasmi dan penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi liputan Sidang Kemuncak ASEAN.
Wawancara ini akan disiarkan menerusi program berita antarabangsa BERNAMA World sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bulan depan di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA