Inventori Minyak Sawit Dijangka Lebih Rendah Pada Suku Kedua, Dipacu Eksport Lebih Kukuh

KUALA LUMPUR, 13 April  (Bernama) -- Inventori minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencatatkan penurunan pada suku kedua tahun ini susulan permintaan eksport yang lebih tinggi apabila pembeli meningkatkan pegangan stok berikutan ketidaktentuan situasi gencatan senjata di Asia Barat.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), inventori penutup bagi Mac terendah setakat tahun ini.

Ia menyatakan di sebalik pengeluaran bulan ke bulan yang lebih kukuh, inventori minyak sawit ditutup 16 peratus lebih rendah pada Mac susulan lonjakan eksport ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 10 tahun.

“Kami menjangkakan inventori Malaysia akan menghampiri purata 10 tahun pada suku kedua berikutan eksport yang lebih kukuh apabila negara-negara mula membina rizab sekiranya berlaku gangguan bekalan atau penghantaran,” katanya.

Menurut Kenanga IB, prestasi eksport Mac yang kukuh sebanyak 1.55 juta tan berlaku seiring dengan harga MSM Mac yang lebih mantap iaitu RM4,321 setiap tan.

Ketidakanjalan eksport terhadap kenaikan harga ini menunjukkan kebimbangan yang kian meningkat terhadap keterjaminan makanan susulan konflik di Asia Barat.

“Sehubungan itu, tanpa mengira sama ada konflik di Asia Barat berakhir dengan gencatan senjata atau tidak, permintaan terhadap minyak makan termasuk minyak sawit dijangka kekal positif ekoran pembeli bertindak balas meningkatkan simpanan stok untuk satu hingga dua suku tahun akan datang,” jelas firma itu.

Bank pelaburan itu menyatakan dengan lonjakan harga tenaga, permintaan terhadap biodiesel meningkat dengan ketara bersama-sama permintaan terhadap minyak makan seperti minyak sawit.

"Walaupun peladang berdepan peningkatan kos baja dan tenaga, sektor ini dijangka menjadi penerima bersih kerana harga minyak makan melonjak dengan harga MSM meningkat dari RM4,019 setiap tan pada Januari kepada RM4,500-RM4,700 setiap tan pada April.

"Penggunaan dijangka kekal kukuh serta berkembang antara tiga hingga empat peratus tahun ke tahun atau lebih bergantung kepada permintaan biodiesel," katanya.

Selain itu, firma itu memaklumkan Malaysia memulakan 2026 dengan inventori minyak sawit yang tinggi hasil daripada rekod tuaian pada 2025 dan ramai peladang menetapkan harga baja pada kadar lebih rendah sehingga pertengahan 2026.

Dalam pada itu, syarikat-syarikat perladangan juga mempunyai matlamat pembangunan mampan malah mengunci bekalan tahunan mereka, katanya.

Kenanga Investment Bank mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2026 pada paras RM4,250 setiap tan dan unjuran bagi 2027 pada RM4,200 setiap tan.

“Kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perladangan dengan tumpuan diberikan kepada peladang yang menawarkan nilai dan pertumbuhan seperti Kuala Lumpur Kepong Bhd dengan harga sasaran (TP) RM24.50 sesaham, PPB Group Bhd (TP: RM14.85 sesaham) dan TSH Resources Bhd (TP: RM1.55 sesaham),” katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIBB) memaklumkan inventori minyak sawit Malaysia merekodkan penurunan paling ketara sejak Mac 2023 memandangkan negara pengguna utama mempergiat usaha simpanan stok di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang memuncak.

“Pada masa yang sama, harga MSM melonjak pada Mac dengan peningkatan melebihi 19 peratus, disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi dan kenaikan kos pengangkutan susulan ketegangan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing.

“Perkembangan ini meningkatkan daya tarikan relatif biodiesel sebagai bahan api alternatif yang terjamin sekali gus melonjakkan permintaan terhadap biofuel berasaskan sawit,” katanya.

Melangkah ke hadapan, bank pelaburan tersebut menjangkakan harga MSM akan terus mendapat sokongan kukuh daripada ketersediaan eksport serantau yang terhad.

Ini berikutan langkah Thailand dan Indonesia yang memberi keutamaan kepada program biodiesel domestik serta risiko cuaca berkaitan fenomena El Niño yang sedang berkembang.

“Kami juga menjangkakan inventori minyak sawit Malaysia akan menghampiri paras psikologi dua juta tan dalam tempoh dua bulan akan datang,” tambah PIBB.

PIBB mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan dan mengulangi unjuran harga MSM bagi tahun penuh pada RM4,400 setiap tan.

-- BERNAMA