BERITA TERKINI   Kerajaan tidak hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | Kerajaan tidak bercadang untuk hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | ASEAN berharap permeteraian ATIGA, FTA ASEAN-China, dan DEFA serta Perjanjian Inklusi Perdagangan ASEAN-India yang dimuktamadkan pada Okt, akan membantu meningkatkan perdagangan dalam rantau ini - Tengku Zafrul | ATIGA dan DEFA yang dinaik taraf akan tangani halangan bukan tarif utama merentasi ASEAN - Tengku Zafrul | Penjimatan daripada pelaksanaan BUDI95 akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat - MOF | 

ASEAN Perlu Tingkat Kesalingbergantungan Perdagangan, Pelaburan Untuk Kelangsungan Ekonomi

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan di Asia Tenggara, serta mengukuh integrasi menerusi kesalingbergantungan penting untuk kelangsungan ekonominya di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.

Cabaran paling utama adalah tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas rakan dagangannya, termasuk semua anggota ASEAN, selain kecenderungan perlindungan perdaganan yang memerlukan semua anggota berganding bahu untuk meningkatkan daya tahan ekonomi dan menangani cabaran ini.

Tumpuan Malaysia terhadap hasil ekonomi ASEAN, yang sejajar dengan Keberhasilan Utama Ekonominya (PED) sendiri, menjadi semakin penting, terutamanya ketika sesetengah negara anggota berdepan dengan tarif yang tinggi.

Keberhasilan itu termasuk strategi praktikal bagi rantau ini bukan sahaja untuk muncul sebagai pasaran tunggal utama yang mengembangkan perdagangan antara dalaman, tetapi juga menarik pelaburan luar, yang dapat memberi manfaat kepada 680 juta penduduknya.

Sehubungan itu, Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM), yang akan dipengerusikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), bermula 23 September di Kuala Lumpur, menjadi medan utama bagi negara anggota untuk menterjemahkan visi ekonomi kepada keberhasilan.

Antara PED yang berada di bawah bidang kuasa langsung menteri ekonomi adalah mengembangkan perdagangan dengan China dan India, meningkatkan perjanjian perdagangan bebas dengan China, yang merupakan pelabur terbesar di rantau ini, mengukuhkan kerjasama ekonomi antara ASEAN dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta menerima pakai Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN (ASIG).

PED lain termasuk menyokong pelan hala tuju pelaksanaan kenderaan elektrik, Pusat Kecemerlangan ASEAN bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) dalam Peralihan Hijau, rangka kerja untuk Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu dan memuktamadkan Perundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

PED ini akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-46 pada Oktober yang  dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia merupakan satu pencapaian bagi Malaysia kerana dapat mencapai konsensus PED di pemukiman AEM di Desaru, Johor, pada Mac, hanya dua bulan selepas mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN daripada pengerusi sebelumnya, Laos.

PED ini, yang disokong pada Mac lepas, hanya sebulan sebelum tarif AS diumumkan pada April kemudiannya, tanpa disedari telah menjadi semakin penting, terutamanya selepas Presiden Donald Trump mengenakan tarif ke atas lebih daripada 60 negara, termasuk semua 10 negara ASEAN, dengan ada antaranya dikenakan duti import sehingga setinggi 49 peratus.

Langkah AS itu telah menyebabkan banyak negara termasuk ekonomi utama seperti China, Jepun, negara-negara Kesatuan Eropah dan ASEAN terpaksa mengadakan rundingan dengan AS untuk mengurangkan tarif.

Teras utama perkumpulan serantau itu adalah Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030, yang, dalam keadaan sekarang perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk memacu integrasi yang lebih mendalam dan mengukuhkan daya tahan.

Seperti yang nyatakan oleh Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul, AEC adalah pelan hala tuju dinamik yang disokong oleh rangkaian petunjuk hasil utama komprehensif, memberi isyarat kepada dunia bahawa ASEAN sedang berkembang menerusi kepimpinan dan perpaduan kukuhnya.

Dan seperti yang sering ditekankan oleh Malaysia, ASEAN perlu berganding bahu bersama-sama untuk muncul sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan serantau utama bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di persada global.

Walaupun ASEAN kini merupakan perkumpulan ekonomi keempat terbesar dunia, namun perdagangan dan pelaburannya tidak meningkat secara automatik.

Banyak lagi yang perlu dilakukan melalui keazaman politik dan komitmen yang lebih besar dalam bidang seperti merungkai halangan bukan tarif dan memupuk dasar negara yang padu termasuk inisiatif berpaksikan rakyat yang tertumpu kepada integrasi ekonomi serantau.

Walaupun perdagangan barangan ASEAN tahun lepas berjumlah US$3.84 trilion, perdagangan perkhidmatan sebanyak US$1.29 trilion dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) mencecah US$226 bilion, sasaran rantau itu adalah untuk meningkatkan angka ini dengan lebih pesat lagi.

Justeru itu, langkah AEC yang memberi penekanan kepada keterbukaan pasaran dan kesediaan untuk memberi komitmen kepada rakan dagang luaran walaupun dalam keadaan ekonomi yang menjadi semakin mementingkan diri sendiri, dilihat sebagai suatu yang memberangsangkan.

Memandangkan keadaan perdagangan global yang semakin tidak menentu, AEM perlu memaklumkan dengan jelas kepada pemimpin mereka yang akan bersidang di sidang kemuncak pada Oktober ini untuk melaksanakan strategi dan matlamat AEC dengan segera.

Ini memerlukan pemimpin ASEAN berusaha keras untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran yang sangat berdaya saing, dibangunkan secara saksama, dan disepadukan sepenuhnya ke dalam ekonomi global.

Tidak kurang pentingnya bagi ASEAN untuk memajukan lagi hubungan ekonomi dengan negara-negara lain, yang mana keupayaan Malaysia untuk mengadakan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk (GCC)-China pada Mei merupakan satu pencapaian membanggakan bagi negara selaku pengerusi.

Tidak dinafikan ia adalah satu langkah ke arah yang betul kerana membuka jalan bagi ekonomi serantau untuk meneroka pasaran baharu bagi perniagaan.

Mengikut negara individu, Malaysia akan memulakan pusingan pertama rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara-negara GCC pada Disember, dengan matlamat jelas untuk mengembangkan hubungan ekonomi dengan enam negara teluk itu.

Negara-negara tersebut ialah Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Semasa mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia, serta ASEAN bersama China, ekonomi kedua terbesar dunia, untuk mengembangkan perdagangan dengan negara-negara GCC.

Langkah itu boleh mengurangkan pergantungan Asia Tenggara kepada AS sebagai destinasi eksport utama dan mengurangkan kesan kewangan akibat daripada tarif yang tinggi.

Di rantau Asia, usaha ASEAN untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang diperluaskan dengan China dan India merupakan satu langkah yang betul dan efektif.

ATIGA yang akan dimeterai pada sidang kemuncak pemimpin pada Oktober akan meningkatkan perjanjian perdagangan bebas dua hala sedia ada dan mengukuhkan integrasi ekonomi sambil meningkatkan daya tahan rantaian bekalan. 

AEM bulan ini, yang diadakan sebelum sidang kemuncak pada Oktober, juga memberi peluang kepada negara anggota untuk membincangkan peningkatan hubungan ekonomi dengan rakan dialog.

Bidang utama lain untuk memacu integrasi serantau termasuk Komuniti ASEAN yang disambungkan secara digital, Grid Kuasa ASEAN, memupuk pertumbuhan inklusif dan mampan serta menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana, yang merupakan tulang belakang ekonomi serantau.

Usaha utama Malaysia sebagai pengerusi ASEAN di AEM adalah untuk memastikan manfaat ekonomi daripada persekitaran yang lebih kondusif bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan yang bakal membawa impak kepada perniagaan, sektor swasta dan yang paling penting kepada rakyat.

-- BERNAMA