BERITA TERKINI   Kerajaan tidak hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | Kerajaan tidak bercadang untuk hadkan pembelian RON95 sekali sehari - Kementerian Kewangan | ASEAN berharap permeteraian ATIGA, FTA ASEAN-China, dan DEFA serta Perjanjian Inklusi Perdagangan ASEAN-India yang dimuktamadkan pada Okt, akan membantu meningkatkan perdagangan dalam rantau ini - Tengku Zafrul | ATIGA dan DEFA yang dinaik taraf akan tangani halangan bukan tarif utama merentasi ASEAN - Tengku Zafrul | Penjimatan daripada pelaksanaan BUDI95 akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat - MOF | 

Jepun Tetap Penting Bagi Keseimbangan ASEAN - Penganalisis

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kehadiran Jepun di Asia Tenggara terus berperanan penting dalam menyeimbangkan persaingan kuasa besar ketika negara ASEAN mempelbagaikan pasarannya, sekali gus menjadikan Jepun sebagai rakan pembiayaan jangka masa panjang yang boleh dipercayai dan sebuah pasaran strategik.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Jepun menyediakan rakan pembiayaan dan pelaburan jangka masa panjang berasaskan piawaian untuk ASEAN serta membantu mengelakkan kebergantungan berlebihan kepada modal dari China dan Amerika Syarikat (AS).

“Tumpuan berlebihan terhadap modal AS dan China akan mengurangkan fleksibiliti strategik ASEAN. Kehadiran berterusan Jepun membantu mempelbagaikan sumber pelaburan dan menyediakan alternatif pembiayaan jangka masa panjang, terutama dalam sektor infrastruktur dan pembuatan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Jepun menjadi rakan dialog ASEAN sejak 1973, satu hubungan yang diformalkan pada 1977 melalui Doktrin Fukuda dan diperluas melalui pelbagai perjanjian termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun.

Negara matahari terbit itu dijadualkan mengadakan rundingan dengan blok ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi (AEM) ASEAN ke-57 minggu ini.

Perdagangan ASEAN-Jepun berkurangan daripada kira-kira US$268.5 bilion pada 2022 kepada sekitar US$239 bilion pada 2023, iaitu penurunan sebanyak 11.0 peratus tahun ke tahun, berikutan pempelbagaian dan perubahan corak perdagangan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Innes berkata perubahan corak perdagangan dan pelaburan langsung asing itu mencerminkan penyeimbangan semula struktur, bukannya kejatuhan pengaruh Jepun.

ASEAN telah menjadi pasaran yang jauh lebih dinamik, menarik aliran modal yang besar dari China, Korea Selatan dan AS, manakala pengaruh relatif Jepun semakin berkurangan susulan penyusunan semula rantaian bekalan global, katanya.

Beliau berkata untuk kekal kompetitif, Jepun perlu menggabungkan kelebihan teknologi dengan pembiayaan yang cekap termasuk memberi insentif kepada projek penyahkarbonan korporat, memperluas kesalinghubungan digital berasaskan kerangka ASEAN-Jepun, dan memastikan syarikat Jepun melakukan peranan dalam menetapkan piawaian perdagangan digital serantau, sistem pengukuran karbon dan pembiayaan infrastruktur hijau.

Penekanan ASEAN terhadap kepusatan dan tidak berpihak boleh dikekalkan sekiranya Jepun terus bekerjasama melalui mekanisme yang diterajui ASEAN seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Jepun-ASEAN dan Perkongsian Strategik Komprehensif.

“Tumpuan kerjasama ‘ASEAN didahulukan’ sangat penting untuk mengekalkan kepercayaan serantau, walaupun Jepun kekal sejajar dengan strategi Indo-Pasifik AS,” katanya.

Dari segi keselamatan, Innes berkata kerjasama pertahanan ASEAN-Jepun yang lebih erat boleh memberi manfaat bersih sekiranya dilaksanakan secara telus, memperkukuh kuasa rundingan ASEAN tanpa menjejaskan pendirian berkecuali.

Penekanan Tokyo terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan undang-undang maritim di Laut China Selatan menjadi faktor penstabil di Asia Tenggara kerana fokusnya terhadap langkah-langkah bukan provokatif seperti sokongan pengawal pantai dari segi kapasiti dan pemantauan.

Melihat ke hadapan, beliau berkata Jepun berkedudukan baik untuk membantu ASEAN membina daya tahan rantaian bekalan dalam menghadapi ketidaktentuan tarif dan risiko geopolitik, manakala kepakaran Jepun dalam tenaga boleh baharu, hidrogen dan pemerangkapan karbon boleh menyokong bidang baharu dalam dalam peralihan hijau ASEAN.

“Ekonomi akan terus menjadi asas dalam hubungan ASEAN-Jepun, terutama dalam pelaburan, rantaian bekalan dan peralihan hijau. Keselamatan juga utama namun kekal sebagai peranan sekunder,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa risiko terbesar adalah perpecahan ASEAN akibat tekanan geopolitik.

“Keadaan ini akan meningkatkan kos urus niaga dan mendorong ‘forum-shopping’ oleh kuasa besar. Bagi melindungi nilai, Jepun perlu terus bekerjasama melalui institusi ASEAN serta membentuk perkongsian dua hala yang boleh dikembangkan seterusnya disepadukan semula dengan kerangka ASEAN apabila konsensus diperkukuh,” katanya.

-- BERNAMA