Negeri Sembilan Bakal Miliki Auto City Pertama Di Nilai, GDV RM1 Bilion
NILAI, 23 Sept (Bernama) -- Negeri Sembilan bakal mewujudkan hab automotif moden pertamanya menerusi projek pembangunan Auto City di Bandar Pintar Nilai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kawasan itu seluas 728.43 hektar (1,800 ekar) dengan pelaksanaan fasa pertama bulan ini dan dijangka menjana lebih 5,000 peluang pekerjaan merangkumi bidang teknikal, perkhidmatan, logistik, pemasaran dan pengurusan.
“Auto City akan menjadi hab automotif moden yang menawarkan kemudahan seperti bilik pameran kenderaan, kedai alat ganti, pusat servis, pusat rawatan estetik automotif serta ruang gaya hidup berteraskan teknologi.
"Kehadiran Auto City ini bukan sahaja menarik penyertaan jenama automotif antarabangsa, malah membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan dan ekosistem industri automotif serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pecah tanah Auto City Projek Pembangunan Bandar Pintar Nilai yang turut dihadiri Pengerusi Nilai Resources Group Sdn Bhd Tan Sri Dr Gan Kong Seng.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson yakin projek itu menjadi pemangkin kepada pembangunan zon lain di Bandar Pintar Nilai, termasuk zon pembuatan kenderaan elektrik (EV), zon perubatan, zon pendidikan, zon pergudangan dan zon perumahan.
Ini juga dapat menyerlahkan daya tarikan Nilai sebagai hab automotif, pusat teknologi dan destinasi pelaburan, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negeri, termasuk kesejahteraan rakyat.
“Pembangunan ini akan membuka ruang baharu untuk usahawan tempatan, memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyokong agenda kerajaan negeri menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
"Bandar Pintar Nilai misalnya adalah seiring dengan aspirasi Malaysia Vision Valley (MVV) yang memacu pelaburan bernilai tambah tinggi, teknologi canggih dan pembangunan mapan di Negeri Sembilan," katanya.
Aminuddin menyifatkan kewujudan ekosistem serantau dinamik di kawasan Nilai dapat memacu bandar itu sebagai hab pertumbuhan baharu dan membuka lebih banyak peluang pelaburan terutamanya apabila Lebuhraya baharu NLE (Nilai-Labu – Enstek) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap pada Julai 2026.
Beliau berkata kedudukan strategik Nilai berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Putrajaya, turut menjadikannya sebagai pintu gerbang mobiliti dan pentadbiran serta memperkukuh keyakinan pelabur antarabangsa untuk melabur di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA