Alliance Bank Pertingkat Program AEIOU Dengan Modul Biodiversiti, Cabaran Reka Bentuk Logo
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd memperkenalkan versi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dipertingkatkan dikenali sebagai “AEIOU for Responsible Living”.
Inisiatif yang dipertingkatkan ini memberi tumpuan kepada biodiversiti dan mula diperkenalkan di sekolah-sekolah terpilih di Sabah. Ia menyasarkan untuk diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara menjelang akhir tahun depan.
Inisiatif ini dibangunkan dengan kerjasama pergerakan pemuliharaan alam sekitar yang diterajui golongan belia, Jane Goodall’s Roots & Shoots Malaysia.
Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Alliance Bank Dr Aaron Sum berkata modul baharu itu bertujuan memupuk pemimpin muda yang peka terhadap alam sekitar dengan kemahiran pengurusan wang yang praktikal serta peka dan mahir dalam ekologi.
“Sering kali orang beranggapan jika pembangunan maju, alam sekitar mesti terjejas atau sebaliknya; apa yang kami cuba tunjukkan adalah terdapat pendekatan yang lebih baik dan lebih mampan untuk pembangunan dan aktiviti termasuk keputusan kewangan yang kami lakukan setiap hari yang turut memberi kesan kepada alam sekitar.
“Sehubungan itu, kami memperkenalkan topik baharu dalam kurikulum yang menumpukan kepada biodiversiti, dipersembahkan menggunakan jalan cerita dan komik untuk menarik minat generasi muda dengan harapan dapat menyemai nilai-nilai yang membentuk masa depan yang lebih bertanggungjawab dan menunjukkan bahawa setiap usaha kecil dapat membantu dalam memulihara alam sekitar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Modul biodiversiti itu telah dirintis di 17 sekolah di Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran, Sabah, bagi menguji perkaitannya, mendapatkan maklum balas dan memperhalusi modul itu sebelum pelaksanaan secara besar-besaran tahun depan.
Pengenalan modul baharu itu turut disokong oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan.
“Mereka didedahkan dengan sesi perkongsian oleh pakar-pakar daripada Roots and Shoots dan Pusat Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo melalui kisah sebenar pemuliharaan dan kemampanan hidupan liar.
“Para pelajar juga berikrar untuk memelihara biodiversiti semula jadi dan mereka semua berpeluang bermain serta bersaing antara satu sama lain melalui permainan papan ‘Eco Heroes’ serta pembentangan idea produk mesra alam yang mereka hasilkan pada peringkat akhir pertandingan,” kata Aaron.
Berikutan penglibatan yang positif di Sabah, beliau berkata Alliance Bank berhasrat melancarkan modul itu secara berfasa untuk memastikan ia menjangkau lebih ramai golongan belia Malaysia dan memberi inspirasi kepada mereka dalam bertindak demi alam sekitar.
“Program ini selaras dengan agenda kemampanan kami yang merupakan sebahagian besar daripada strategi Acceler8. Kami sentiasa menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan kemampanan, serta sebagai sebuah institusi kewangan, inilah cara kami menyumbang semula kepada komuniti,” kata Aaron.
Selain itu, beliau berkata terdapat juga perancangan untuk memperluaskan modul ini ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara.
Program Literasi Kewangan AEIOU yang merupakan program CSR utama oleh Alliance Bank, mula diperkenalkan pada 2015 dan sehingga kini telah melibatkan lebih 180,000 murid sekolah rendah di seluruh negara.
Sempena ulang tahun ke-10 program itu, Alliance Bank akan menganjurkan pertandingan Cabaran Reka Bentuk Logo AEIOU.
Pertandingan ini berlangsung dari 22 September hingga 30 November, 2025, dan terbuka kepada semua murid berumur 9 hingga 12 tahun.
Hadiah wang tunai termasuk RM2,000 untuk tempat pertama, RM1,500 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga. Penyertaan boleh dihantar melalui laman web AEIOU di https://www.alliancebank.com.my/aeiou-logo-design-challenge.
Sejak diperkenalkan, AEIOU terus melibatkan komuniti, memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada sumber pendidikan kewangan asas dan penting, serta mempromosikan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan rangka kerja Kurikulum Persekolahan 2027 oleh Kementerian Pendidikan.
Program itu baru-baru ini telah diiktiraf dalam sesi Parlimen oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh susulan kesan positifnya terhadap murid-murid sekolah di Malaysia.
-- BERNAMA