Malaysia Berusaha Capai Keseimbangan Perdagangan Dengan India - AEIC

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Malaysia menyeru India untuk mengenal pasti sektor di negara itu yang berpotensi dikembangkan dari segi eksport dan perkhidmatan untuk membantu mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan, kata Pengerusi Majlis Ekonomi ASEAN-India (AEIC) Datuk Ramesh Kodammal.

Menurutnya Malaysia mengambil maklum kebimbangan India terhadap defisit perdagangan, dan menegaskan ketidakseimbangan itu terutamanya berikutan eksport komoditi Malaysia meskipun negara ini telah mengimport banyak barang dan menggunakan pelbagai perkhidmatan dari India.

“India perlu tampil dengan idea-idea baharu, dan memberitahu kami apa-apa yang boleh dibeli daripada mereka. Oleh itu, kami dapat mengimbangi perdagangan ini.

“Ini mungkin meliputi farmaseutikal, teknologi maklumat, sektor perkhidmatan atau sektor pendidikan dan kita boleh bekerjasama dengan mereka,” katanya kepada Bernama di luar Majlis Makan Tengah Hari Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-India 2025 di sini.

Ramesh berkata minyak sawit menyumbang kira-kira 30 peratus daripada jumlah perdagangan antara Malaysia dan India, dan kenaikan tarif yang mendadak boleh menjejaskan eksport.

Beliau turut menekankan keperluan kepada koordinasi yang lebih erat antara industri dan kerajaan.

“Pada asasnya, India dan Malaysia mempunyai dua perjanjian. Pertama, Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN-India (AITIGA) yang sedang dikaji semula dan satu lagi perjanjian dua hala dengan Malaysia (Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India).

“Kami perlu memuktamadkan rangka kerja ini dan seterusnya kami boleh lihat bagaimana keseimbangan perdagangan ini tercapai,” katanya.

Ramesh berkata AITIGA yang telah berkuat kuasa lebih sedekad sedang dikaji semula dan dijangka dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

Menurutnya Malaysia bersikap terbuka dan proaktif dalam perdagangan global, dan menjalinkan lebih 16 perjanjian dua hala dan perjanjian perdagangan bebas di seluruh dunia.

“Saya berpendapat India tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia dan sebaliknya. Dalam tempoh lima tahun akan datang, saya jangka perdagangan kami akan berkembang sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus sekiranya perjanjian ini dilaksanakan,” katanya.

Perdagangan dua hala Malaysia-India mencapai US$20.01 bilion pada 2023-2024.

Malaysia merupakan rakan dagang ke-16 terbesar India dan rakan dagang ketiga terbesar India di ASEAN manakala India berada dalam kalangan 10 rakan dagang utama Malaysia.

Sementara itu, India kekal sebagai rakan dagang utama ASEAN, dengan jumlah perdagangan meningkat kepada US$106.83 bilion pada 2024 daripada US$100.72 bilion pada 2023.

-- BERNAMA